Cari @ Amanz

Seperti sedia maklum, Google bakal mengadakan sebuah acara khas berkenaan dengan Android pada hari ini, dan menariknya, bukan sahaja Google diperkatakan akan memperlihatkan Android 3.0 Honeycomb, malah mereka juga kini diura-ura akan memperkenalkan Android Market berasaskan web, dan juga pengumuman rasmi berkaitan Google Music.

Google Music telah diura-urakan untuk suatu waktu yang lama, dan kini dengan sedikit demi sedikit fungsi integrasi muzik pada Android yang kelihatan, ianya berkemungkinan besar Google akan memperkenalkannya kepada umum. Melalui Google Music, ianya diperkatakan yang perkhidmatan tersebut akan membolehkan para pengguna menyimpan lagu kegemaran mereka pada pelayan Google (perkomputeran awan), seterusnya mengaksesnya secara terus melalui komputer dan juga perantian Android.

Selain daripada itu, salah satu perkara yang dinantikan adalah Android Market berasaskan web, untuk memudahkan para pengguna membuat belian dan melihatnya menggunakan skrin komputer mereka terlebih dahulu. Menariknya, versi web ini juga dijangka akan membawakan beberapa fungsi menarik, dimana salah satunya adalah anda boleh memilih aplikasi yang anda inginkan, dan seterusnya ianya akan dipasangkan pada perantian Android anda secara terus, tanpa perlu anda memegang perantian Android anda.

Android Honeycomb juga membawakan pelbagai perkara baru, terutamanya antaramuka dan rekabentuk baru yang diberikan nafas, selain sokongan meluas kepada tablet. Mungkin banyak lagi perkara akan diperkenalkan oleh Google pada acara hari ini nanti. Sama-sama kita nantikannya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd