Cari @ Amanz

Salah satu perkara yang hangat dibincangkan oleh para pekerja IT Malaysia semalam dan hari ini adalah berkenaan dengan akta baru yang bakal dibentangkan, yang mana akan memfokuskan kepada Badan Perkomputeran Professional, sekaligus memberikan pelbagai impak positif dan negatif terhadap industri IT yang kekal terbuka diseluruh dunia sehingga ke hari ini.

Apakah itu Akta Badan Perkomputeran Professional 2011?

Buat masa ini, ia dikatakan sebagai akta yang membolehkan pembangunan Badan Perkomputeran Professional di Malaysia. Namun salah satu masalahnya adalah disebabkan IT adalah amat luas, ia akan memberikan impak yang besar, dan mereka yang berusaha disebalik perkara ini, perlu memberikan definisi yang lebih tepat dan dibincangkan dengan lebih ramai pihak lagi.

Salah satu perkara yang menjadi persoalan adalah adakah perkara ini telah dibincangkan dengan pelbagai kumpulan yang terlibat dalam dunia ICT tempatan, sebelum ia dirangka.

Bagi mereka yang ingin ketahui dengan lebih lanjut, anda boleh memuat-turun dokumen draft Akta Badan perkomputeran Professional 2011 ini dalam bentuk PDF (atau baca di Scribd atau Google Docs), dan membacanya untuk mendapatkan idea lebih lanjut mengenainya.

Apakah Kebaikan Daripadanya?

Secara kasar, daripada apa yang dapat dibaca daripada pelbagai perbincangan, lebih banyak perkara negatif yang kelihatan daripada penubuhan perkara ini berdasarkan kepada draft semasa. Malah terdapat video yang sedikit sebanyak menceritakan senario berdasarkan apa yang telah dicadangkan melalui akta ini pada video dibawah ini.

Antara perkara yang dikatakan adalah pekerja ICT akan lebih diiktiraf dan dilindungi oleh badan ini. Walaubagaimanapun, kami masih tidak mengetahui apakah bezanya kelak dengan MSC yang sedia mengiktiraf beberapa organisasi di Malaysia. Kami sendiri masih lagi tidak memahami sepenuhnya, apakah yang bakal dibawakan oleh badan baru ini kepada industri ICT negara. Kami akan cuba mendapatkan lebih lanjut mengenainya melalui perbincangan terbuka yang diadakan pada hari Selasa kelak.

Pelbagai Pertanyaan Yang Timbul

Memandangkan perkara ini masih lagi pada peringkat draft, mungkin lebih banyak perkara perlu dikaji dan perlu hadiri pertemuaan yang diadakan oleh mereka sebelum dapat melihatnya secara menyeluruh.

Namun, antara perkara yang dikatakan adalah ia akan menjejaskan pembangunan industri secara kasar. Ini adalah kerana ia memerlukan kita mendaftarkan kepakaran mereka dengan badan tersebut. Dalam dunia teknologi yang berkembang dengan pesat, semestinya pembangun, perekabentuk dan semua yang bekerja dengan industri IT perlu mempelajari ilmu-ilmu baru setiap hari, dan adakah perlu mendaftar dengan mereka setiap kali pelajari perkara baru?

Melalui pertanyaan seorang pembaca di forum tempatan (WebCampKL, OSDC.my), bagaimanakah pula dengan mereka yang mendaftar dibawah kepakaran Ruby tetapi menggunakan PHP dalam pembangunan mereka? Adakah ianya akan bertentangan dengan akta tersebut kelak? Adakah segala kepakaran perlu dicatatkan, daripada asas perkomputeran sehingga kepakaran seseorang itu kelak?

Bagaimana pula dengan pakar-pakar sedia ada yang bekerja di bidang ICT negara yang mana tidak mempunyai “kelayakkan” seperti yang diperkatakan, tetapi mempunyai kepakaran dalam melaksanakan tugas mereka.

Melalui draft, ia dikatakan, semua perkara berkaitan dengan IT, perlu melalui badan tersebut, dan mereka yang tidak berdaftar dengan mereka, tidak boleh menghantar proposal, merekabentuk, mahupun bekerjasama dengan organisasi lain di Malaysia.

Sekiranya ini semua adalah benar dan dijalankan, maka ia akan mengehadkan tahap kreativiti dan juga kepakaran seseorang dalam bidang IT, malah mereka akan menjadi malas untuk mempelajari perkara-perkara baru dalam bidang tersebut, kerana perlu melalui pelbagai perkara seperti pendaftaran kepakaran dan pengetahuan.

Apa Yang Boleh Dilakukan?

Walaupun kelihatan pelbagai perkara negatif daripada penubuhannya, mungkin mereka yang disebalik penubuhan ini mempunyai nilai yang murni dalam pembangunan tersebut. Jadi apakah yang boleh dilakukan oleh mereka?

Mungkin mereka masih boleh menubuhkan badan yang mereka kehendaki, dan menjadikannya sebagai badan bebas, membolehkan mereka yang ingin menjadi ahli, boleh berdaftar dengan mereka, dan mereka yang tidak ingin, tidak mempunyai sebarang masalah dengannya.

Tiada sebarang keperluan untuk perkara ini dijadikan akta.

Selanjutnya?

Memandangkan ianya masih diperingkat draft, pihak berkenaan akan mengadakan sebuah pertemuan khas melalui hari terbuka mereka, dan mereka yang berminat, boleh menghadirkan diri, dan berbincang dan mengetahui lebih lanjut mengenainya. Berikut merupakan maklumat mengenai hari terbuka tersebut:

Tarikh : 13 Disember 2011 (Selasa)
Masa : 9.30 pagi – 5.00 petang
Tempat : Dewan Perhimpunan
Aras 1, Blok C4, Kompleks C
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

Kemaskini- Sekiranya anda membantah akta ini, boleh tandatangan petisyen atas talian yang sedang dijalankan. Widget ada di bahagian atas sebelah kanan halaman ini. Maklumat lanjut di berita ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd