Cari @ Amanz

Selain daripada peranti Android, Samsung juga mempunyai sistem operasi yang dibangunkan mereka sendiri, iaitu BadaOS yang baru-baru ini telah pun memasuki generasi kedua, iaitu BadaOS 2.0. Dan antara peranti baru yang dilancarkan bersama-sama dengan sistem operasi baru tersebut adalah Wave 3 dan juga Wave Y.

Kedua-duanya telah dilancarkan oleh Samsung secara rasminya pada 30 Ogos yang lepas, dan pada hari ini, Samsung telah pun melancarkannya di Malaysia, membolehkan para pengguna tempatan yang berminat dengan BadaOS mendapatkannya.


Samsung Wave 3

Melalui Wave 3, ia membawakan cip pemprosesan 1.4GHz, skrin WVGA Super AMOLED bersaiz 4-inci, kamera hadapan VGA dan kamera belakang 5-megapixel. Berbeza pula dengan Wave Y yang mana ditujukan kepada para pengguna muda pada harga yang amat mampu milik, membawakan skrin HVGA bersaiz 3.2-inci, kamera belakang 2 megapixel, cip pemprosesan 832MHz, dan pelbagai sokongan asas lain bersama-sama dengannya.


Samsung Wave Y

Kedua-dua peranti ini juga dilengkapi dengan sokongan permesejan ChatON yang ditawarkan oleh Samsung untuk pengguna BadaOS dan juga Android. Ia juga dilengkapi dengan antaramuka TouchWiz daripada Samsung.

Samsung Wave 3 dijual di pasaran Malaysia pada harga RM999, manakala Samsung Wave Y dijual pada harga RM419, dan kedua-duanya boleh didapati daripada pengedar Samsung seluruh negara bermula hari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd