Cari @ Amanz

Pelayar web yang paling popular di Malaysia buat masa ini adalah Google Chrome. Hari ini, Google telah pun mengeluarkan kemaskini kepada pelayar web mereka, membawa Chrome 18 pada saluran stabil bersama-sama dengan beberapa perkara baru, termasuk sokongan grafik yang lebih pantas dan lebih baik berbanding sebelumnya.

Melaluinya, ia membolehkan para pengguna menikmati kandungan dalam bentuk 3D, mahupun bermain permainan berasaskan HTML5 seperti BrowserQuest dengan lebih mudah lagi.

Pada masa yang sama, Google turut menyertakan beberapa sokongan lain dari segi sekuriti dan keselamatan dan sebagainya. Seperti semua sedia maklum, bagi para pengguna Chrome sedia ada, mereka akan menerima kemaskini secara automatik, manakala pengguna yang ingin mencubanya, boleh memuat-turun dan menggunakan Chrome hari ini secara percuma.

Selain daripada Chrome, Mozilla juga sedang memfokuskan kepada pembangunan pelayar web mereka, Firefox, disamping mensasarkan untuk membawa pelbagai teknologi baru sepanjang tahun 2012 ini. Mungkin kita akan terus dapat melihat persaingan sihat antara Chrome dan Firefox sepanjang tahun ini, disamping Internet Explorer 10 yang bakal didatangkan bersama-sama sokongan Metro pada Windows 8.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd