Cari @ Amanz

Seperti mana yang dinantikan ramai, hari ini, Google secara rasminya telah pun melancarkan Google Drive, salah satu produk yang telah diura-ura akan selama beberapa tahun sejak pengenalan GMail. Melalui Google Drive, Google bukan sahaja menyediakan ruangan storan atas talian, tetapi menawarkan lebih daripadanya dengan mengintegrasikan Google Docs sepenuhnya didalam Drive.

Melalui Google Drive, para pengguna boleh membuat pelbagai perkara, seperti mengubah dokumen pelbagai format, membolehkan para pengguna mengubah dan mengedit sebanyak lebih 30 jenis format dengan mudah, terus daripada pelayar web. Selain daripada pengguna biasa, ia juga memberikan pelbagai nilai tambah kepada pengguna pelayar web Chrome mahupun sistem operasi ChromeOS. Ini adalah kerana, Google sendiri kini menyediakan sebuah kategori khas pada Chrome WebStore, membolehkan anda menambah pelbagai aplikasi khusus untuk Google Drive, membolehkan anda mengubah-suai pelbagai jenis dokumen terus pada pelayar web anda, termasuk dari mengedit video, AutoCAD, mockup dan banyak lagi.

Pada masa yang sama, selain daripada fail-fail yang disokong untuk diubah terus melalui aplikasi tambahan, mahupun Google Docs, Google Drive juga membolehkan para pengguna menyimpan fail mereka padanya, dan mengakses menggunakan sebarang peranti (sama seperti Dropbox). Untuknya, Google memberikan ruangan percuma sebanyak 5GB, dengan kebolehan untuk menaik-taraf pada harga bermula 25GB untuk $2.49 sebulan. Menariknya, dengan menaik-taraf akaun Google Drive, ia juga akan menjadikan akaun GMail anda menerima ruangan storan bersaiz serupa.

Untuk mula menggunakannya, para pengguna hanya perlu mengaktifkan Google Drive mereka, dan seterusnya boleh memuat-turun aplikasi Google Drive yang disediakan untuk Android, Windows, dan juga OS X. Kami akan cuba sendiri Google Drive ini, dan membuat ulasan mengenainya dalam sehari dua lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd