Cari @ Amanz

Skype merupakan salah satu aplikasi panggilan suara dan video yang digunakan dengan aktif dan meluas oleh para pengguna seluruh dunia. Kini, dengan dibawah Microsoft, Skype dijangka akan diintegrasikan pada pelbagai platform milik Microsoft, dan sebagai permulaan, kini Microsoft telah pun mula mencari pekerja baru dalam membawakan Skype kepada web.

Skype versi web kelak akan membolehkan para pengguna menggunakan perkhidmatan mereka tanpa sebarang aplikasi tambahan dengan mudah. Buat masa ini, klien Skype perlu dipasang sebelum dapat membuat panggilan, malah kerjasama Skype dengan Facebook juga memerlukan para pengguna memuat-turun aplikasi tambahan supaya ia bekerja tanpa masalah.

Namun, sekiranya Skype versi web yang bakal diperkenalkan beroperasi sepenuhnya menggunakan HTML5 dan juga JavaScript, ia bakal memberi nilai tambah kepada perkhidmatan tersebut. Mungkin ia akan diintegrasikan dengan menyeluruh pada platform Windows Live, disamping didatangkan dengan sokongan terbina untuk Windows 8.

Perkara ini juga akan memudahkan pengguna yang menggunakan tablet dan telefon pintar dengan sokongan HTML5 dan juga JavaScript untuk mengakses Skype dengan mudah pada peranti mereka. Dan semestinya, ia juga bakal menjadi antara aplikasi terawal menyokong Mozilla B2G, iaitu platform mudah-alih daripada Mozilla yang memfokuskan kepada penggunaan HTML5 dan JavaScript.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd