Cari @ Amanz

Dalam banyak-banyak aplikasi yang dihasilkan oleh pembangun tempatan, salah satu yang terbaru adalah Adam Dream. Adam Dream merupakan salah satu aplikasi untuk iPad yang dihasilkan oleh Terato Tech, menawarkan permainan berbentuk pendidikan, memfokuskan kepada penggunaan masalah Matematik, dan pada masa yang sama membawakan jalan cerita yang menarik.

Adam Dream membawakan jalan cerita dimana salah seorang pelajar bernama Adam yang terlelap ketika di sekolah, dan dibawa ke alam mimpi. Untuk membantunya keluar daripada alam mimpi, para pemain perlu menyelesaikan pelbagai masalah Matematik, daripada tambah, tolak, darab dan juga bahagi, yang mana setiap satunya dibahagikan kepada beberapa tahap.

Dari segi grafik permainan, ia membawakan antaramuka yang amat kemas, dengan watak yang comel dan menarik minat para pengguna, terutamanya yang muda. Memandangkan kami mengujinya menggunakan iPad generasi pertama, kami kurang pasti sama ada ia membawakan sokongan paparan retina untuk iPad 3 ataupun tidak. Namun, daripada penggunaan pada iPad generasi pertama, ia berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Permainan Adam Dream boleh dikatakan agak mencabar, bukan hanya kepada kanak-kanak, tetapi turut sama pada pengguna remaja mahupun yang lebih tua. Ia dibahagikan kepada empat tahap (dunia berbeza), dimana pada setiap tahap, ia membawakan penambahan sejenis masalah Matematik.

Adam Dream dimulakan dengan masalah Matematik berbentuk tambah, dan kemudian pada dunia kedua ia ditambah dengan tolak, dan begitulah untuk dunia ketiga dan juga ke-empat, yang mana masing-masing membawakan penambahan darab dan bahagi. Setiap dunia membawakan lebih 12 tahap dengan soalan yang semakin sukar dengan penggunaan angka besar dari setiap tahap ke tahap yang lain.

Setiap penyelesaian masalah Matematik akan menjurus kepada serangan kepada pihak musuh (makhluk asing). Dan dalam menjadikannya lebih interaktif, beberapa kuasa tambahan turut disertakan, seperti mematikan masa, membuat dwi-pilihan dan sebagainya. Namun, untuk mendapatkan setiap kuasa tersebut, para pemain perlu menyelesaikan sejumlah masalah dan mengumpulkan beberapa buah epal melaluinya. Tetapi, anda turut boleh melangkaui fasa ini dengan membuat pembelian buah epal melalui Store yang disertakan padanya.

Selesai sahaja setiap tahap, ia akan memperlihatkan markah yang dikumpulkan, disamping turut menunjukkan kadar ketepatan menjawab sesuatu soalan. Sekiranya para pemain mendapat kadar ketepatan 100%, maka mereka akan dianugerahkan dengan tiga epal (tiga bintang), sama seperti pada permainan Angry Birds dan sebagainya.

Adam Dream turut didatangkan dengan sokongan integrasi OpenFient, membolehkan para pengguna untuk menghubungkan akaun permainan mereka, dan pada masa yang sama bersaing dengan rakan-rakan yang lain dalam mendapatkan markah yang tinggi melaluinya. OpenFient biasanya digunakan pada pelbagai permainan popular, termasuk pada FruitNinja dan sebagainya.

Bagi para pengguna yang berminat, boleh mendapatkan permainan Adam Dream daripada AppStore hari ini, dan mungkin anda boleh menggantikan permainan Angry Birds dan sebagainya yang sering dimainkan oleh kanak-kanak, dengan sesuatu yang berfaedah, disamping pada masa yang sama menambah kepakaran mereka dalam menyelesaikan soalan Matematik.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd