Cari @ Amanz

Pada WWDC 2012 yang diadakan bermula daripada hari ini, Apple secara rasminya telah pun memperkenalkan platform mudah-alih generasi baru mereka, iaitu iOS 6 yang mana membawakan pelbagai fungsi baru bersama-sama dengannya, dimana antaranya adalah sokongan integrasi Facebook dan juga aplikasi peta yang baru.

Maps

Seperti kami kongsikan sebelum ini, iOS 6 bakal didatangkan bersama-sama dengan perkhidmatan peta yang baru, mengantikan Google Maps yang digunakan sebelum ini. Ia juga turut didatangkan bersama-sama pelbagai fungsi menarik, termasuk paparan dalam bentuk 3D, sokongan info trafik masa-nyata, dan juga sokongan navigasi. Namun, ia masih tidak diketahui sepenuhnya sama ada kesemua fungsi ini boleh digunakan pengguna seluruh dunia ataupun sebaliknya.

Siri

Siri telah menjadi salah satu perkara hangat yang diperkatakan sejak ia dilancarkan pada iPhone 4S tahun lepas. Dan kini, melalui iOS 6, Apple turut membawakan sokongan Siri kepada iPad.

Disamping itu, Siri juga kini diintegrasikan dengan pelbagai data, daripada berkaitan sukan, restoran dan sebagainya. Melalui iOS 6 juga, Siri membolehkan para pengguna membuka aplikasi dengan mudah melaluinya, disamping mengemaskini Twitter dan Facebook dengan hanya membacakan status kepadanya sahaja.

Integrasi Facebook

Jikalau pada tahun lepas, Apple membawakan sokongan integrasi Twitter, kali ini, Facebook pula diintegrasikan dengan menyeluruh pada iOS 6. Para pengguna kini dengan mudah boleh berkongsi gambar terus daripada kamera dan galeri, berkongsi lokasi dari peta, berkongsi pautan menarik daripada Safari dan sebagainya. Ia juga turut diintegrasikan pada AppStore, membolehkan anda melihat aplikasi menarik yang di “Like” rakan-rakan anda, sekaligus menjadikan AppStore lebih sosial lagi.

Passbook

Salah satu fungsi baru pada iOS 6 adalah aplikasi Passbook. Melaluinya, ia membolehkan anda menyimpan pelbagai perkara penting, seperti kad-kad ganjaran, tiket digital, kupon, dan sebagainya terus padanya, dan mengakses serta menguruskannya dengan mudah melalui aplikasi tersebut.

FaceTime Melalui Rangkaian Mudah-Alih

Sejak dilancarkan, salah satu perkara yang diminta oleh para pengguna adalah sokongan untuk menggunakannya melalui talian data masing-masing selain daripada WiFi sahaja. Kini, melalui iOS 6, Apple membolehkan anda membuat panggilan video kepada rakan-rakan anda dengan mudah, dari mana sahaja anda berada melalui rangkaian 3G anda.

Lain-lain

Selain daripada apa yang dinyatakan, iOS 6 juga membawakan kemaskini kepada cara menjawab panggilan, membolehkan anda menjawab panggilan suara dengan mesej, ataupun mengaktifkan sokongan Do Not Disturb untuk mengelakkan anda diganggu pada sesuatu masa.

Aplikasi pengurusan emel, dan juga pelayar web Safari turut menerima kemaskini, membawakan pelbagai perkara baru bersama-sama dengannya.

iOS 6 bakal dilancarkan kepada umum dalam masa beberapa bulan lagi, dan sementara itu, bagi para pembangun, iOS 6 Beta telah pun diperkenalkan, membolehkan mereka membangunkan aplikasi dan mengoptimasikan untuknya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd