Mungkin semua sedia mengenali syarikat yang mendapat projek emel 1Malaysia sebelum ini, iaitu Tricubes. Dengan pelbagai kontroversi, kini Bursa Malaysia menyatakan yang mana sekuriti syarikat tersebut akan digantung bermula 11 Julai ini, disebabkan oleh syarikat tersebut tidak dapat menunjukkan ia boleh kembali menguntungkan.
Sebelum ini, pada bulan April tahun lepas, Tricubes telah mendapat projek emel 1Malaysia, dan Tricubes mengatakan mereka akan melabur RM50 juta padanya. Walaubagaimanapun, projek tersebut yang dikatakan memudahkan perhubungan antara kerajaan dan juga orang awam itu seperti tidak mendapat sambutan hangat, dan bilangan yang berdaftar dengan perkhidmatan tersebut masih lagi tidak diketahui lagi.
Daripada apa yang diketahui buat masa ini, Pemandu (Performance Management & Delivery Unit, Jabatan Perdana Menteri) mengatakan Tricubes akan terus kekal menguruskan projek emel 1Malaysia dan dipantau oleh mereka.
MyEmail, nama projek emel 1Malaysia daripada Tricubes itu turut sama menyertakan beberapa rakan kerjasama dalam menarik minat pengguna mendaftarkan perkhidmatan tersebut. Namun, apabila kami menghubungi salah sebuah syarikat yang terlibat sebagai rakan kerjasama, dan bertanya akan pulangan daripada kerjasama tersebut, mereka mengatakan tiada sebarang pulangan yang didapati, malah sejak dilancarkan sehingga ke hari ini, tiada sebarang pelanggan yang datang daripada perkhidmatan tersebut.
Sebelum ini juga, Jabatan Pendaftaran Negara bersama-sama dengan beberapa agensi memperkenalkan perkhidmatan myIdentity, sekaligus membuatkan ramai yang masih tertanya-tanya apakah perkhidmatan emel 1Malaysia ini masih relevan ataupun tidak kepada pengguna tempatan.