Cari @ Amanz

Setelah Sony menghabiskan pengumuman beberapa peranti baru mereka pada IFA 2012, kini Samsung mengambil alih pentas utama – memulakan acara utama mereka dengan mengumumkan Samsung Galaxy Note 2 kepada umum.

Seperti gambar tertiris sebelum ini, Galaxy Note 2 sedikit besar berbanding generasi lepas, dimana membawakan cip pemprosesan empat-teras 1.6GHz, memori sebanyak 2GB RAM, dijana menggunakan Android 4.1 Jelly Bean, dan membawakan bateri dengan kapasiti sebesar 3,100mAh padanya. S-Pen juga turut sama dikemaskini, membawakan rekabentuk yang sedikit panjang dan tebal, serasi untuk dipegang dan dikendalikan.

Selain daripada spesifikasi yang dikemaskini, Galaxy Note 2 turut sama membawakan beberapa fungsi baru yang ditambah padanya, memberikan lebih fungsi menarik untuk digunakan bersama S-Pen.

Air View merupakan salah satu daripadanya, membolehkan anda melihat beberapa info dan paparan ringkas, tanpa perlu membuka sesuatu dokumen. Sebagai contoh, sekiranya anda letakkan S-Pen anda ke atas sesuatu album, ia akan memaparkan gambar-gambar didalamnya dalam bentuk preview. Perkara sama juga untuk kalendar, video dan sebagainya.

Screen Recorder turut sama disertakan, membolehkan anda merakamkan paparan skrin anda untuk dikongsi bersama yang lain dengan mudah. Ia mungkin amat berguna untuk para pelukis, membolehkan mereka merakam proses melukis sesuatu gambar dan sebagainya untuk dikongsikan bersama yang lain.

Beberapa fungsi seumpama Galaxy S3 turut didatangkan, iaitu Pop-Up Play. Selain itu, ia turut menyertakan fungsi yang dinamakan sebagai Best Faces, Photo Note dan banyak lagi.

Samsung mengatakan yang mana sebanyak 260 rakan kerjasama mereka di 128 negara akan melancarkannya dan menjualnnya bermula bulan Oktober kelak. Memandangkan Malaysia merupakan antara yang terawal menerima Galaxy S3 sebelum ini, kita mungkin boleh nantikan perkara sama untuk Galaxy Note 2 kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd