Cari @ Amanz

Bagi para pengguna tempatan, semestinya menantikan peranti Nexus rasmi daripada LG dan juga Google, iaitu Nexus 4, dan daripada jawapan yang diberikan oleh LG melalui laman sosial mereka, ia kelihatan akan tiba di Malaysia pada bulan Disember ini.

Nexus 4 telah diumumkan oleh Google bersama-sama LG pada penghujung Oktober lepas, membawakan Android 4.2 dan juga dilengkapi dengan memori sebanyak 2GB RAM dan cip pemprosesan empat-teras 1.5GHz Krait padanya. Ia turut dilengkapi bersama kamera 8-megapixel pada bahagian belakang, dan kamera 1.3-megapixel pada bahagian hadapan. Buat masa ini, variasi ruangan storan yang bakal ditawarkan di Malaysia masih tidak diketahui lagi, memandangkan Nexus 4 hadir dalam pilihan 8GB dan 16GB.

Selain daripada Nexus 4, LG Malaysia juga dijangka akan memperkenalkan peranti berspesifikasi tinggi terbaru mereka, LG Optimus G pada bulan Disember ini. LG Optimus G turut membawakan cip pemprosesan empat-teras 1.5GHz Krait, memori sebanyak 2GB RAM, ruangan storan terbina sebesar 32GB, kamera belakang dalam pilihan 8-megapixel atau 13-megapixel (mengikut pasaran), dan kamera hadapan 1.3-megapixel. LG Optimus G hadir dengan Android 4.0 Ice Cream Sandwich.

Semestinya sekiranya ingin mendapatkan kemaskini Android dengan pantas terus daripada Google, Nexus 4 bakal menjadi pilihan ramai.

Harga jualan untuk kedua-dua peranti masih tidak diketahui lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd