Cari @ Amanz

Dalam pelbagai jenis tablet dan peranti hibrid yang ditawarkan oleh para pengeluar untuk Windows 8 dan Windows RT, salah satu yang menjadi penantian ramai pengguna adalah Surface, yang mana dibangunkan oleh pihak Microsoft sendiri.

Surface merupakan tablet pertama yang dikeluarkan oleh Microsoft, yang mana sedia terkenal dengan beberapa perkakasan mereka seperti tetikus, papan kekunci, mahupun konsol mereka – Xbox.

Buat masa ini, Microsoft Malaysia masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan dengan bilakah Surface bakal hadir ke Malaysia. Memandangkan Xbox 360 sendiri tidak dilancarkan secara rasmi di Malaysia, kemungkinan untuk Surface dilancarkan secara rasmi adalah agak tipis.

Video Nyah-Kotak

Spesifikasi Surface RT
Sistem Operasi Windows RT
Skrin 10.6-inci ClearType HD (1366×768 pixel)
Storan 32GB/64GB. Sokongan mikroSD dan USB 2.0
CPU NVIDIA Tegra 3 empat-teras.
Memori 2GB RAM
Kamera 2 kamera depan belakang HD 720p LifeCams

Seperti kebanyakkan bungkusan dan kotak peranti pada masa kini, Surface turut sama membawakan rekabentuk yang minimalis, dimana sebaik sahaja anda membukanya, anda akan dapat melihat tablet Surface tersebut sendiri, dan pada bahagian kanan adalah pengecasnya, serta manual untuk Surface pada bahagian bawah tablet tersebut.

Sekiranya anda membeli pakej dengan papan kekunci, ia akan disertakan sekali, pada bahagian bawah, dalam kotak berwarna hitam.

Rekabentuk

Sekiranya dipandang pada bahagian hadapan Surface, ia membawakan rekabentuk yang agak menyerupai kepada beberapa tablet yang lain. Namun, apa yang uniknya adalah sokongan membuka sedikit ruangan kickstand pada bahagian belakang tablet tersebut, dan mendirikannya. Perkara ini memberikan kelebihan kepada tablet Surface ini, membolehkan para pengguna menggunakan ia ketika bekerja, berinteraksi (membuat panggilan video), ataupun menonton video dan sebagainya.

Sokongan Tambahan

Di bahagian bawah kickstand, ia menyertakan ruangan khas untuk mikro-SD, membolehkan para pengguna yang inginkan ruangan tambahan pada tablet mereka menggunakannya dalam menambah ruangan storan.

Bercakap mengenai storan, tablet dengan kapasiti storan 32GB ini membolehkan para pengguna menggunakan ruangan sebanyak sekitar 20GB. Memandangkan ia menyertakan integrasi dengan SkyDrive secara menyeluruh, dan ruangan mikro-SD disediakan, mungkin ia bukanlah suatu masalah besar untuk pengguna yang inginkan ruangan storan tambahan.

Pada masa yang sama, Surface RT ini turut menyertakan ruangan port USB 2.0 dan juga mikro-HD untuk video.

Video Pandang Pertama

Mungkinkah Surface menjadi seperti Xbox yang tidak pernah dilancarkan untuk pasaran Malaysia?

Daripada apa yang kami gunakan untuk sementara waktu, peranti ini kelihatan amat menarik sekali jikalau dibandingkan dengan beberapa tablet yang lain untuk Windows 8. Tablet Surface RT ini juga agak ringan, dan sedap dipegang di tangan.

Untuk papan kekuncinya pula, ia agak sukar untuk digunakan pada beberapa minit pertama, tetapi menjadi serasi, dan mudah dikendalikan selepas menggunakannya untuk sementara. Memandangkan kami hanya menggunakannya untuk sementara waktu, maka tidak diketahui masa bertahan baterinya.

Kamera terbina padanya, dioptimasikan untuk digunakan ketika Surface didirikan dengan kickstand, selain menjadikan pengguna selesa membuat panggilan video menggunakannya, mahupun merakamkan gambar kegemaran anda. Namun, sekiranya ingin merakamkan gambar ketika di tempat yang mempunyai ramai orang, dan memerlukan untuk pengguna merakamkannya dengan mengangkat kedua-dua tangan, maka mungkin sedikit sukar. Memandangkan tablet ini memfokuskan kepada pengguna perniagaan, untuk belajar dan juga secara kasual, mungkin ia tidak membawakan masalah besar untuk pengguna.

Setelah menggunakannya untuk beberapa ketika, kami agak menyukai tablet daripada Microsoft ini, dan semestinya sekiranya ia membawa harga yang menarik, ramai akan membeli dan menggunakannya sebagai ganti kepada komputer riba mahupun netbook mereka.

Buat masa ini, ia masih tidak diketahui bilakah tablet Surface ini akan memasuki pasaran Malaysia.

[amanz-gallery]


  • Info
  • Terima kasih kepada Suhairi dan pembangun Nearby kerana meminjamkan sementara Surface RT.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd