Cari @ Amanz

Teknologi Sepanjang 2012Sepanjang tahun 2012 yang lepas, pelbagai perkara baru yang telah diperkenalkan daripada pembangun peranti, sehinggalah kepada penyedia perkhidmatan berasaskan internet, menjadikan arena teknologi terus meriah dengan pelbagai kejutan dari hari ke hari.

Pelbagai gergasi teknologi kelihatan hadir dengan pelbagai perkara baru, terutamanya Google, Microsoft dan juga Apple, serta tidak ketinggalan adalah orang perseorangan yang hadir dengan pelbagai konsep yang akan merevolusikan dunia teknologi pada masa akan datang.

Laman Perkongsian Fail – MegaUpload Dimatikan

MegaUploadPenutupan akses kepada MegaUpload bukanlah sesuatu yang baru untuk pengguna Malaysia, memandangkan sebelum ini pada tahun 2011 pihak kerajaan telah mematikan akses kepadanya. Namun, ia masih boleh diakses melalui perubahan DNS dan sebagainya.

Pada tahun ini, tindakan drastik diambil oleh pihak berkuasa di Amerika Syarikat, dengan menarik nama domain MegaUpload, sekaligus mematikan perkhidmatan mereka sepenuhnya, menjadikan ramai pengguna yang menyimpan fail pada perkhidmatan tersebut kehilangan akses untuknya.

Kesan daripada penutupan perkhidmatan ini, pengasas MegaUpload, setelah melalui pelbagai kes dan perbincangan di mahkamah, turut mengumumkan yang mana mereka akan melancarkan perkhidmatan terbaru mereka, dinamakan sebagai Mega.co.nz pada pertengahan bulan Januari 2013 ini.

Selain daripada hanya MegaUpload, beberapa syarikat lain turut menerima kesan daripada perkara ini, membuatkan beberapa perkhidmatan lain mematikan sokongan perkongsian, dan hanya memfokuskan sebagai laman simpanan fail untuk kegunaan peribadi sahaja.

Laman Storan Awan Terus Menjadi Popular

Perkomputeran Awan

Berbeza dengan laman seperti MegaUpload, perkhidmatan seumpama Dropbox yang lebih memfokuskan kepada simpanan fail untuk urusan peribadi kelihatan terus popular dikalangan pengguna.

Dropbox, pada tahun ini sahaja telah mengambil-alih lebih dua syarikat yang terus memfokuskan kepada perkomputeran awan, selain mengemaskini aplikasi mereka, dengan fokus baru, memudahkan pengguna mengakses gambar yang disimpan di Dropbox.

Google, pada tahun ini turut memperkenalkan Google Drive, membolehkan pengguna menyimpan fail dan dokumen terus menggunakan akaun Google mereka, disamping membuat pengeditan dokumen melalui integrasi pada Google Docs.

Apple bersama-sama perkhidmatan iCloud miliknya kelihatan turut mendapat fokus utama mereka, dengan iCloud yang diintegrasikan bersama-sama sistem operasi OS X dan juga iOS, membolehkan pengguna mengakses dokumen mereka pada mana-mana platform tersebut dengan pantas.

Microsoft juga turut melakukan perkara sama pada perkhidmatan SkyDrive, dimana memperkenalkan beberapa klien desktop dan mudah-alih, membolehkan pengguna dengan mudah mengakses fail mereka pada sebarang platform.

Canonical, lebih kurang seperti Microsoft, turut sama menambah tawaran klien desktop untuk Ubuntu One untuk memudahkan pengguna sistem operasi lain menggunakan perkhidmatan storan awan Ubuntu.

Dunia Sistem Operasi Perkomputeran

Tahun 2012 dimulakan dengan pengenalan Mac OS X 10.8 oleh Apple yang mana menyertakan beberapa perkara baru padanya, termasuk integrasi iCloud dengan lebih menyeluruh, selain pusat notifikasi dan juga beberapa sokongan seumpama yang terdapat pada iOS.

Windows 8 - BMBercakap mengenai dunia sistem operasi, semestinya salah satu perkara yang tidak boleh dilupakan adalah Windows 8 daripada Microsoft. Setelah pelbagai ujian umum, pada bulan Oktober, Microsoft secara rasminya memperkenalkan sistem operasi dengan antaramuka baru, serta integrasi awan kepada umum.

Windows 8 juga ditawarkan pada harga promosi yang menarik, sekaligus menambah bilangan pengguna yang mendapatkan sistem operasi tersebut secara sah, selain dipuji ramai pengguna seluruh dunia.

Windows 8 juga turut dioptimasikan untuk tablet, selain mana memandangkan ia dioptimasikan untuk skrin sentuh, maka trend baru hadir dengan komputer AIO dan komputer riba yang didatangkan dengan sokongan skrin sentuh padanya.

Tidak ketinggalan adalah sistem operasi Ubuntu daripada Canonical, yang mana pada tahun 2012, Ubuntu 12.10 hadir dengan sokongan aplikasi web, Unity yang ditambah baik dan pelbagai perkara lain padanya. Pihak Canonical turut mengumumkan perancangan untuk tahun 2013 ini mengatakan mereka akan memfokuskan membawakan Ubuntu pada tablet dan juga telefon pintar.

Dunia Sistem Operasi Mudah-Alih

Android Gangnam StyleBercakap mengenai dunia sistem operasi, semestinya platform mudah-alih sesuatu yang tidak boleh dilupakan.

Android pada tahun ini terus mengukuhkan kedudukannya, sekaligus melangkaui iOS sebagai platform mudah-alih yang popular didunia.

Google pada tahun 2012 telah melancarkan Android Jelly Bean, dimana bersama-sama dengannya menyertakan sokongan Google Now yang membawakan pembantu maya peribadi, disamping turut mengatasi masa lengah masa melaluinya. Tahun 2012 juga menyaksikan Gogle lebih mengalakkan pembangun turut hadir dengan aplikasi yang dioptimasikan untuk tablet. Daripada kali terakhir yang dikongsikan, bilangan aplikasi Android yang terdapat di Google Play Store dikatakan adalah sekitar 750,000 aplikasi.

Apple tidak ketinggalan dalam mengemaskini sistem operasi iOS mereka kepada iOS 6, yang mana menyertakan beberapa perkara baru, seperti Passbook, sokongan Do Not Disturb dan sebagainya. Namun, perkara yang hangat diperkatakan dan dikritik ramai adalah berkenaan pengantian Apple daripada Google Maps kepada Apple Maps, yang membuatkan pelbagai lokasi tidak terdapat padanya, disamping salah ditandakan.

Windows Phone daripada Microsoft turut dikemaskini kepada Windows Phone 8, membawakan beberapa sokongan tambahan, seperti NFC, sokongan mikro-SD, dan semestinya salah satu perkara yang hangat diperkatakan adalah sokongan kebolehan mengubah saiz Tiles mengikut kehendak pengguna.

RIM walaupun tidak hadir dengan peranti BlackBerry 10 pada tahun 2012, mereka terus mengekalkan minat pengguna dengan memperlihatkan satu demi satu fungsi baru untuk BlackBerry 10, menjadikan ramai ternanti-nanti untuknya.

RIM dijangka akan melancarkan BlackBerry 10 pada penghujung bulan ini, dimana dua peranti baru dijangka akan diumumkan bersama-sama dengannya.

Beberapa platform baru lain turut diperlihatkan, termasuk antaranya adalah Firefox OS daripada Mozilla, Sailfish OS daripada Jolla, dan juga beberapa yang lain.

Gajet Sepanjang Tahun 2012

Bercakap mengenai dunia teknologi, semestinya salah satu perkara yang tidak boleh dilupakan adalah gajet dan peranti elektronik yang hadir daripada ramai pengeluar sepanjang tahun 2012.

Google bersama-sama beberapa rakan pengeluar mereka hadir dengan beberapa peranti Nexus, termasuk Nexus 4, Nexus 7 dan juga Nexus 10.

Samsung pula seperti biasa mengeluarkan pelbagai variasi peranti Android pada tahun ini, dimana antara yang diperkatakan adalah Galaxy Note 10.1, Samsung Galaxy S3 dan juga Samsung Galaxy Note 2. Pihak Samsung turut sama mengumumkan telefon pintar ATIV S pada tahun 2012 yang dijana menggunakan Windows Phone 8, tetapi masih belum dimulakan jualannya buat masa ini.

Apple seperti biasa, mengemaskini pelbagai pilihan komputer mereka, disamping turut memperkenalkan tiga iPad pada tahun lepas – termasuk iPad Mini yang bersaiz 7.9-inci. iPhone turut dikemaskini kepada iPhone 5 dengan sokongan Lightning dan saiz skrin yang lebih besar padanya.

Pelbagai pengeluar komputer riba hadir dengan komputer riba dengan sokongan skrin sentuh, dan pelbagai kemaskini spesifikasi, kesan daripada pengenalan Windows 8 daripada Microsoft.

Nokia yang sememangnya terkenal dengan telefon mereka yang berkualiti tinggi, hadir dengan Nokia Lumia 920 pada tahun 2012, membawakan bersama sokongan PureView untuk rakaman gambar, PureMotion untuk kawalan skrin menggunakan sebarang perkara, dan juga sokongan pengecasan tanpa wayar untuknya.

Bercakap mengenai dunia gajet, salah satu inovasi baru yang dibawakan oleh Google melalui Project Glass adalah kaca mata pintar, membolehkan pengguna mengawal pelbagai perkara terus melaluinya. Google dijangka akan memperkenalkan peranti prototaip awal untuk pembangun pada tahun ini, dan mungkin akan hadir dengan Google Glass untuk pengguna seawal tahun 2014 kelak.

Laman Sosial dan Privasi

sosialDunia laman sosial kelihatan berkembang pesat pada tahun ini, dengan lebih ramai yang menyertainya, dan mula berkongsi pelbagai perkara melaluinya bersama-sama dengan rakan mereka.

Facebook pada tahun ini secara rasminya mengatasi lebih 1 bilion angka penggunannya, sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka dalam arena sosial berbanding pelbagai pesaing yang lain.

Facebook juga pada tahun ini memfailkan syarikat untuk tawaran saham umum, selain mengambil-alih beberapa syarikat sosial yang lain.

Salah-satu syarikat yang diambil-alih oleh Facebook adalah Instagram. Instagram pada tahun ini turut berkembang dengan positif, dimana mereka memperkenalkan aplikasi Android untuknya dan melihat angka pengguna yang bertambah dengan drastik hasil daripadanya.

Twitter tidak ketinggalan dalam arena sosial, dimana lebih ramai selebriti, ahli politik, pemimpin dan sebagainya, menjadikan angka pengguna aktif mereka lebih 200 juta sebulan. Twitter turut mengintegrasikan lebih banyak jenis media pada laman dan aplikasi mereka, disamping turut hadir dengan sokongan filter seumpama Instagram pada aplikasi Android dan iOS mereka.

Google turut tidak ketinggalan dengan Google+ mereka, mengatakan mempunyai lebih 500 juta pengguna berdaftar, disamping turut memperkenalkan beberapa sokongan baru, termasuk Google+ Events, dan juga Google+ Communities.

Bercakap mengenai Google, salah satu perkhidmatan mereka yang tidak boleh dilupakan adalah YouTube, dimana pada tahun 2012 mereka terus membesar dengan lebih banyak kandungan yang dihasilkan pengguna, selain sokongan penjanaan wang melalui Partner Program yang diperluaskan kepada lebih banyak negara lagi.

Lain-Lain

Pelbagai perkara lain yang berlaku dalam arena teknologi ini sepanjang 2012, termasuk salah satunya adalah perbincangan pelbagai jenis akta untuk mengawal internet yang menerima tentangan ramai pihak.

Pengguna juga lebih berani mengeluarkan pendapat mereka, membuatkan beberapa perkhidmatan terpaksa mengubah kembali polisi perkhidmatan seperti sedia-kala, dimana salah satunya adalah Instagram.

Kes pengodaman juga banyak berlaku pada tahun ini, membuatkan sekuriti dan data peribadi salah satu perkara yang menjadi sasaran utama ramai pihak tidak bertanggungjawab.

Selain daripadanya, pelbagai perkara menarik lain yang berlaku dalam arena teknologi, menjadikan kita ternanti-nanti apakah yang bakal dibawakan oleh dunia teknologi pada tahun ini -2013.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd