Cari @ Amanz

Samsung Galaxy Note 8.0 merupakan salah satu tablet dengan sokongan S-Pen yang diperkenalkan oleh gergasi dari Korea Selatan tersebut pada bulan Februari yang lepas di MWC. Kini, nampaknya peranti tersebut telah pun tiba di pasaran Malaysia, dimana senQ telah memulakan pra-tempahan untuknya.

Samsung Galaxy Note 8.0

Daripada apa yang dikongsikan pihak senQ, Samsung Galaxy Note 8.0 ditawarkan pada harga RM1699 untuk versi berkapasiti 16GB dengan sokongan 3G. Ia masih tidak diketahui sama ada versi 32GB ataupun versi tanpa 3G akan ditawarkan ataupun tidak.

Dengan rekabentuk lebih kurang sama seperti beberapa peranti Samsung sebelum ini, Galaxy Note 8.0 juga turut sama dilengkapi dengan cip pemprosesan empat-teras 1.6Ghz, kamera belakang 5-megapixel, kamera hadapan 1.3-megapxel, dan juga memori 2GB RAM. Ia turut dilengkapi dengan bateri berkapasiti 4600mAh, dan didatangkan bersama-sama sistem operasi Android 4.1 Jelly Bean serta antaramuka TouchWiz.

senQ mengatakan mereka akan mula menawarkannya bermula minggu hadapan, dan bagi mereka yang berminat boleh membuat pra-tempahan pada minggu ini.

Jadi, pada harga RM1699 ini, adakah anda akan mendapatkannya, ataupun mempunyai beberapa pilihan alternatif yang lain?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd