Carian
Ulasan – Microsoft Surface RT
June 9, 2013 Ikhwan Nazri

Kami pernah menulis berkenaan pandang pertama Surface RT pada penghujung tahun lepas. Selepas beberapa bulan Microsoft Malaysia telah pun melancarkan tablet Windows RT mereka ini secara rasminya di Malaysia, dan kami telah berkesempatan untuk mencubanya sendiri untuk beberapa minggu, dan menggunakannya dalam urusan harian.

  • Ulasan oleh Ikhwan Nazri yang mana terakhir sekali menggunakan sistem operasi berasaskan Windows adalah ketika Windows Vista.
Pengalaman Awal Penggunaan Seharian
Spesifikasi Surface RT
Sistem Operasi Windows RT
Skrin 10.6-inci ClearType HD (1366×768 pixel)
Storan 32GB/64GB. Sokongan mikroSD dan USB 2.0
CPU NVIDIA Tegra 3 empat-teras.
Memori 2GB RAM
Kamera 2 kamera depan belakang HD 720p LifeCams

Pada mulanya, untuk menukar tabiat dari kerap menggunakan iPad digantikan dengan Surface RT ini dirasakan sukar namun begitu, ia agak mudah. Meskipun Surface RT sedikit berat berbanding iPad 3, dengan kehadiran akesesori TypeCover, ia memudahkan sedikit sebanyak kerja menaip di tablet. Dengan kehadiran Kickstand, saya boleh meletakkan Surface di dapur tanpa risau akan kekotoran yang dihadapi. Biasanya sekiranya saya meletakkan iPad di dapur, saya akan sedikit berasa risau kerana SmartCover yang dilipat mungkin dikotori. Masalah tersebut tiada semasa menggunakan Surface.

Berkenaan Type Cover, adalah sedikit janggal kerana ia tidak mempunyai sokongan magnetik untuk melekatkan Type Cover menjadi pelindung skrin. Sekiranya pelindung tablet lain menyertakan kebolehan untuk menjadi pelindung skrin, Type Cover tidak melekat kepada skrin. Ini mungkin kerana skrin Surface RT tidak perlu dilindungi memandangkan ianya mempunyai Gorilla Glass yang sememangnya tahan dengan kelasakan seharian.

IMG_0392

Antara perkara yang kerap saya lakukan dengan tablet adalah menonton video dan anime. Bentuk skrin Surface RT boleh dikatakan sedikit janggal berbanding tablet biasa kerana nisbah skrin 16:9. Disini, penyediaan palam USB 2.0 yang tersedia memudahkan saya untuk mencucuk dan menonton video terus dari pendrive saya dan juga, oleh kerana terdapat pembesar suara stereo, kualiti menonton video lebih bagus dari iPad. Sokongan video juga meluas dimana format video yang biasa digunakan dapat ditonton.

IMG_0400

Antaramuka Metro (Windows 8 UI)

Pada mulanya, saya mengambil sedikit masa untuk membiasakan dengan kawalan sentuhan Windows 8. Kawalan bagaikan BlackBerry Playbook, setelah biasa maka tidak janggal lagi. Namun satu perkara yang mungkin telah menjadi tabiat saya untuk menyentuh skrin / ruang menaip supaya paparan antaramuka papan kekunci muncul, dan terlupa yang Type Cover masih tersambung.

Kredit perlu diberikan kepada kebolehan Metro UI untuk menunjukkan dua aplikasi secara serentak dimana saya boleh menulis surat dengan Microsoft Word disamping melihat jalur masa Twitter saya. Oleh kerana pengalaman terakhir saya menggunakan Windows adalah Windows Vista, saya kadangkala tercari-cari dimana butang Start untuk melihat semua aplikasi yang disediakan oleh Surface.

Sekiranya terdapat pilihan antaramuka, saya lebih suka sekiranya Microsoft hanya meletakkan Metro UI dan tiada mod desktop seperti sekarang. Sebab Metro UI memang cantik dan kemas.

IMG_0397

Surface RT
32GB RM1549
32GB + Touch Cover RM1849
64GB RM1849
64GB + Touch Cover RM2149
Touch Cover RM379
Type Cover RM409
Wedge Touch Mouse RM219

Aplikasi

Berbanding platform iOS dan Android, pilihan aplikasi-aplikasi popular sedikit terhad namun ia bukan masalah utama kerana masih banyak aplikasi dan permainan yang menarik. Sekiranya dinilai dari segi lengah masa, Surface berfungsi jauh lebih lancar dari tablet platform Android dan bagi saya kelancaran merupakan suatu faktor utama didalam pemilihan peranti.

Berkenaan aplikasi Camera yang tersedia pada Surface RT, sungguhpun kualiti kamera mampu merakam video 720p, kualitinya tidak bagus dan sensor pengimejannya hanyalah sebesar 1Megapixel. Aplikasi Camera juga tidak terdapat kebolehan memfokus pada sesuatu objek.

Kesimpulan

Bagi saya, Surface RT adalah peranti pilihan sekiranya saya ingin melakukan kerja yang tidak memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi seperti menggunakan Microsoft Office. Setakat yang diuji, Surface RT mampu melakukan kerja saya kecuali penyuntingan foto dan video. Paparan antaramuka Metro UI merupakan faktor yang paling saya sukai dalam melakukan kerja disamping melihat paparan Twitter pada masa yang sama. Untuk harga RM1549 beserta Type Cover RM409, ia mungkin dilihat sedikit mahal tetapi sekiranya dibandingkan dengan kualiti binaan beserta kestabilan sistem operasi ianya tampak berbaloi.

Surface RT

Komen