Cari @ Amanz

BlackBerry Z30

Semalam, telefon pintar BlackBerry Z30 telah pun dilancarkan secara rasmi di Malaysia, sekaligus menjadikan Malaysia sebagai negara pertama untuk menerima peranti berkenaan.

Spesifikasi BlackBerry Z30
Cip Qualcomm Snapdragon S4 Pro 1.7Ghz
Kamera Belakang 8-megapixel, F2.2
Kamera Hadapan 2-Megapixel
Storan Terbina 16GB
Memori 2GB RAM
Skrin 5-inci Super AMOLED (295PPI)
Sistem Operasi BlackBerry 10.2
Bateri 2880mAh
Lain-lain LTE, NFC, BLE

BlackBerry Z30 merupakan telefon pintar pertama daripada BlackBerry dengan skrin bersaiz 5-inci dan paparan resolusi 1280×720 pixel. Dari segi paparan, ia tampak lebih jelas berbanding Z10, mungkin kerana dilengkapi skrin Super AMOLED.

Dari segi binaan pula, ia membawakan bahagian belakang seumpama BlackBerry Q10, dan amat selesa untuk dipegang pada tangan. BlackBerry Z30 ini didatangkan dalam dua pilihan warna, iaitu hitam dan juga putih, selain beberapa aksesori khas untuknya.

Pihak BlackBerry juga dilihat memfokuskan kepada sokongan audio pada BlackBerry Z30. Melaluinya, ia menyertakan sehingga empat mikrofon, membolehkan pengguna membuat panggilan lebih jelas. Penggunaan mikrofon ini juga turut dilengkapi dengan fungsi Natural Sound yang didatangkan bersama-sama BBM Video dan BBM Voice pada BlackBerry 10.2. Walaupun kami tidak berpeluang mencubanya, namun daripada demonstrasi yang diperlihatkan, kualiti audio tampak lebih asli selain merakamkan suara yang perlahan dengan lebih jelas.

BlackBerry Z30

Bercakap mengenai audio, pihak BlackBerry juga turut membawakan sokongan Stereo Audio, sekaligus membolehkan pengguna mendengar lagu ataupun menikmati video pada skrin besar dengan lebih menarik.

Bercakap mengenai perisian, melalui BlackBerry Z30, beberapa perubahan diperkenalkan, termasuk notifikasi pada lockscreen, tambahan menu tetapan untuk pengurusan aplikasi, ikon khs untuk BlackBerry Hub dan beberapa yang lain. Pihak BlackBerry juga turut sama menambah Priority Hub, dimana pengguna boleh melabelkan alamat-alamat ataupun rakan yang penting, dan emel tersebut akan dipaparkan pada bahagian ini. Ia berfungsi seumpama GMail Priority Inbox, tetapi pada masa yang sama turut mengintegrasikan sokongan dari laman sosial dan juga BBM.

[amanz-gallery]

Bercakap mengenai BBM pula, kini pengguna boleh melihat mesej BlackBerry Messenger dari rakan mereka pada bila-bila masa, walaupun ketika menggunakan aplikasi. Sebuah notifikasi khas dipaparkan pada bahagian atas, membolehkan pengguna membuat balasan serta merta untuknya.

BlackBerry Z30 ditawarkan pada harga RM1998 di Malaysia, dan akan dijual bermula awal Oktober kelak. Daripada perkongsian pihak BlackBerry, mereka dikatakan tersilap ketika meletakkan harga Z10 sebelum ini, dan kini dengan Z30 mereka ingin membolehkan lebih ramai mendapatkan peranti berkenaan.

Harga untuk BlackBerry Z10 dan juga BlackBerry Q10 dijangka akan dikemaskini dalam masa terdekat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd