Cari @ Amanz

Windows 8.1

Windows 8 sememangnya membawa perubahan besar dalam sejarah sistem operasi Windows. Ia berubah secara drastik. Dari antaramuka sehingga ke sudut prestasi, jika dibandingkan pada Windows sebelumnya, ia jauh berbeza. Windows 8 dibina kukuh, penampilannya elegan dan dalamannya hadir satu tekad pembaharuan dengan barisan aplikasi generasi baru. Ia tampil unggul di hadapan, demi merealisasikan visi kudsi Microsoft dalam usaha mengubah landskap dunia pengkomputeran pada hari ini dan hari mendatang yang kian gemilang.

Windows 8.1 menyinarkan lagi harapan ini. Ia digilap untuk menampakkan lagi kilauan hasil daripada usaha Windows 8. Ia dibina atas satu premis usaha yang cukup padu, menampilkan rekaan yang dikemas kini dengan beberapa fungsi baru. Ia sama bagaimana anda menggunakan Windows 8 malah tampil dengan pembaharuan dan penambahbaikan, menjadikan ia salah satu Windows terbaik sehingga hari ini. Dengan pernyataan yang cukup yakin, apakah pembaharuan yang sebenarnya dibawa oleh Windows 8.1? Saya, Arib Ismail selaku penulis ulasan kali ini akan mengupas beberapa fungsi baru yang dibawa melalui Windows 8.1.

Antaramuka

Start Screen

Windows 8.1 - TilesFungsi Start Screen pada Windows 8.1 telah diberikan tetapan baru yang mana pengguna boleh menetapkan wallpaper pada desktop untuk digunakan pada latar belakang Start Screen. Fungsi ini dikira amat menarik dalam menjadikan Start Screen kelihatan lebih segar dan elegan disamping pengguna boleh menggunakan latar belakang yang sedia ada.

Seperti mana yang hadir pada Windows 8, pengguna diberikan dengan beberapa pilihan latar belakang statik tetapi pada Windows 8.1, ia turut menampilkan beberapa latar belakang baru secara eksklusif. Latar belakang eksklusif ini tampil dengan animasi ‘parallax’, menjadikan Start Screen lebih menarik apabila pengguna menatal paparan Start Screen. Animasi latar belakang Start Screen bertindak balas secara responsif, menjadikan Start Screen lebih dramatik dan menarik digunakan bersama-sama dengannya.

Tetapan untuk mengubah latar belakang Start Screen pada Windows 8.1 juga telah dipermudahkan dan pengguna tidak lagi dibawa ke satu paparan baru untuk mengubahnya. Pengguna hanya perlu ke Settings pada Charm Bar, kemudian klik pada Personalize dan tetapan mengubah warna tema dan latar belakang Start Screen muncul dengan serta merta pada bahagian kanan skrin.

Selain kebolehan untuk menetapkan wallpaper desktop pada latar belakang Start Screen, Windows 8.1 juga hadir dengan kebolehan mengubah saiz tile kepada saiz Small, Medium, Wide, dan Large. Pada Windows 8, saiz tile hanya boleh diubah kepada saiz Medium dan Wide sahaja dan perkara ini menyekat kebebasan pengguna untuk mengubah saiz tile, lebih-lebih lagi icon aplikasi desktop yang kelihatan agak tidak menarik jika dibiarkan pada tile yang bersaiz besar.

Kehadiran Semula Start Button

Windows 8.1 - StartSalah satu fungsi legasi Windows sejak sekian lama ialah butang Start yang menjadi fungsi ikonik Windows melalui pengenalan Windows 95. Sejak Windows 8 diperkenalkan, fungsi ini dibuang kerana ia telah digantikan dengan thumbnail kecil pada penghujung bawah kiri skrin untuk ke Start Screen. Pembuangan fungsi ini telah mengakibatkan sesetengah pengguna baru Windows 8 berasa janggal sekaligus mengurangkan kadar mesra pengguna pada sistem operasi Windows. Oleh disebabkan itu, Microsoft telah menghadirkan semula fungsi Start Button ini bersama-sama dengan Windows 8.1.

Kehadiran semula Start Button ini dilihat positif kerana membantu pengguna baru untuk mengakses fungsi tersebut dengan lebih mudah lagi. Walau bagaimanapun, fungsi Start Button pada Windows 8.1 tidak hadir dengan fungsi Start Menu seperti mana yang ada pada sistem operasi Windows sebelum ini. Apabila pengguna menekan butang Start Button pada sistem operasi ini, ia akan dibawa ke Start Screen semula. Namun begitu, pengguna boleh mendapatkan pengalaman seakan Start Menu dengan menetapkan tetapan untuk memaparkan paparan All Apps berbanding Start Screen apabila Start Button ditekan.

Pada paparan All Apps, pengguna diperlihatkan dengan senarai penuh aplikasi yang berada di komputer termasuk aplikasi desktop. Melalui Windows 8.1, pengguna juga boleh menetapkan aplikasi yang mana perlu dipaparkan terlebih dahulu melalui pilihan tetapan seperti ‘by name’, ‘by date installed’, ‘by most used’, dan ‘by category’.

Windows Store

Selain penambahbaikan kawalan Start Screen serta kehadiran Start Button pada desktop, antara fungsi yang turut diberi perhatian Microsoft ialah Windows Store. Antara perkara yang diberi perhatian ialah antara muka Windows Store kini telah diberi nafas baru bersama-sama dengan Windows 8.1. Antara muka baru ini dilihat lebih memudahkan pengguna untuk mencari aplikasi sekaligus memudahkan pembangun aplikasi memasarkan aplikasi mereka pada Windows Store. Penambahbaikan lain yang turut didatangkan bersama ialah aplikasi Windows Store yang telah dipasang pada Windows 8.1 akan dikemas kini secara automatik dan pengguna tidak perlu lagi mengemas kini aplikasi secara manual seperti mana yang terdapat pada Windows 8.

Windows 8.1 - Store & Lockscreen

Lock Screen

Paparan lock screen pada Windows 8 membawakan paparan yang kemas serta menarik dan kini pihak Microsoft memberi penambah-baikan pada fungsi tersebut. Pada Windows 8.1, pengguna boleh menetapkan fungsi slide-show pada paparan lock screen selain menggunakan satu gambar sahaja seperti mana yang digunakan pada Windows 8. Apabila fungsi slide-show diaktifkan pada versi Windows terbaru ini, pengguna akan dihidangkan dengan tiga gambar yang berlainan yang ditayangkan serentak pada paparan lock screen.

Selain daripada itu, lock screen pada Windows 8.1 turut membawakan akses pantas untuk ke fungsi kamera. Pengguna hanya perlu menatal paparan lock screen dari atas ke bawah untuk mengaktifkan fungsi ini. Selain itu, satu lagi fungsi yang turut sama hadir adalah kebolehan menjawab panggilan Skype terus menerus daripada lock screen tanpa perlu membuka paparan lock screen terlebih dahulu.

Carian

Integrasi Bing Search

Windows 8.1 - Bing SearchSalah satu fungsi menarik yang hadir pada Windows 8.1 adalah pengintegrasian Bing Search secara sepenuhnya pada sistem operasi Windows. Pengintegrasian ini membolehkan carian dibuat serta-merta daripada fungsi Search pada Windows tanpa perlu menggunakan pelayar web. Perkara ini dilihat membantu pengguna untuk mencari maklumat dengan lebih pantas berbanding menggunakan kaedah lama iaitu melalui pelayar web untuk menjalankan carian.

Selain daripada itu, fungsi carian ini turut hadir dengan hasil carian yang telah disesuaikan dengan carian pengguna dalam satu paparan menarik. Contohnya apabila pengguna terlintas untuk mencari maklumat tentang seseorang, Bing Search akan memberikan hasil carian dalam satu paparan menarik bersama-sama dengan biodata, gambar, video, senarai lagu, dan senarai laman web yang berkaitan dengan carian tersebut.

Penambahbaikan Carian Terbina

Pada Windows 8, carian terbina pada sistem operasi ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu ‘Apps’, ‘Files’, dan ‘Settings’. Perkara ini membuatkan pengguna berasa kurang menyenangkan dan perlu menekan salah satu tetapan carian tersebut untuk memaparkan carian yang berlainan.

Dengan pengenalan Windows 8.1, fungsi carian dihadirkan dengan satu tetapan sahaja iaitu dengan tetapan carian ‘Everywhere’. Tetapan ini membolehkan carian seperti ‘Apps’, ‘Files’, dan ‘Settings’ dipaparkan dalam satu paparan carian sahaja tanpa perlu menekan tetapan lain seperti sebelum ini.

Aplikasi

Sound Recorder, Calculator, dan Alarms

Windows 8.1 - Aplikasi BaruDengan penggunaan Windows 8 yang semakin meluas pada komputer tablet, kemas kini Windows 8.1 turut hadir dengan fungsi asas dalam bentuk aplikasi Modern UI seperti Sound Recorder, Calculator, dan Alarms. Sebelum ini, aplikasi asas ini hanya tersedia dalam bentuk aplikasi desktop dan tidak beberapa begitu intuitif bagi penggunaan paparan skrin sentuh.

Bing Health & Fitness

Selain daripada aplikasi asas, pihak Microsoft turut sama menekankan aplikasi yang berasaskan kesihatan melalui pengenalan aplikasi Bing Health & Fitness. Aplikasi ini membolehkan pengguna melihat dan mengemas kini cara pemakanan harian mereka melalui fungsi Diet Tracker selain melihat tips penjagaan dan berita kesihatan yang dibekalkan melaluinya. Apabila seseorang menghidapi serangan sesuatu penyakit, pengguna boleh menggunakan fungsi Symptoms Checker yang tersedia pada aplikasi Health & Fitness ini. Ia akan memaparkan beberapa solusi dan nasihat kepada pengguna untuk mengurangkan penyakit tersebut.

Selain itu, aplikasi ini turut hadir dengan pengeksplorasi anggota badan manusia dalam bentuk 3D. Ia dilihat dapat membantu golongan perubatan profesional untuk memberi penerangan kesihatan secara digital selain membantu pelajar dan pengguna untuk mengenali sistem anggota badan dengan lebih dekat lagi. Selain daripada itu, bagi yang gemar mengikuti senaman gym, aplikasi ini turut menyediakan senarai aktiviti semasa ‘workout‘ serta ‘exercises‘ yang berguna dalam bentuk video untuk dijadikan sebagai panduan kepada pengguna.

Bing Food & Drink

Pihak Microsoft juga tidak ketinggalan untuk memperkenalkan aplikasi Bing Food & Drink untuk panduan resepi serta sebagai satu alat pengurusan makanan yang dikira amat sesuai digunakan terutamanya oleh golongan suri rumah. Aplikasi ini membolehkan pengguna membuat perancangan untuk masakan seterusnya selain kebolehan untuk menambah resipi baru padanya. Beberapa senarai resipi makanan turut tersedia pada aplikasi ini dengan pelbagai variasi menu makanan dan minuman.

Turut hadir bersama dengan Bing Food & Drink adalah kebolehan gesture untuk navigasi ke halaman seterusnya tanpa menyentuh skrin. Perkara ini dijayakan dengan hanya melambai tangan di hadapan kamera komputer untuk menavigasi halaman aplikasi, sekaligus mengelakkan tangan pengguna yang kotor menyentuh skrin ketika sedang sibuk dalam proses penyediaan makanan.

Windows 8.1 - Aplikasi

Mail, Calendar, People

Aplikasi yang sedia ada seperti Mail, Calendar, People turut diberi pembaharuan melalui Windows 8.1. Aplikasi Mail kini didatangkan dengan sokongan drag-and-drop dan folder pinning serta kebolehan membuka pautan di dalam e-mel ke paparan aplikasi secara side-by-side. Aplikasi Calendar pada Windows 8.1 telah diberi pembaharuan dengan kehadiran paparan “What’s next” yang kelihatan sangat elegan pada pandangan pengguna. Aplikasi People pula kini menampilkan sedikit perubahan dari segi antara muka selain mengetengahkan fungsi yang agak tersorok pada sebelum ini ke paparan yang lebih jelas dilihat oleh pengguna.

Skype

Ketika Windows 8 dilancarkan, satu aplikasi yang diberi nama Messaging telah didatangkan bersama-sama Windows versi ini yang membolehkan pengguna menjadikan ia satu hub permesejan seperti Live Messenger dan Facebook Chat dalam hanya satu aplikasi. Pada Windows 8.1, ia telah digantikan dengan aplikasi Skype dan dihadirkan secara terbina yang turut menawarkan fungsi yang lebih kurang sama seperti aplikasi Messaging pada sebelumnya.

Reading List

Satu fungsi menarik yang turut hadir bersama pada Windows 8.1 ialah aplikasi Reading List yang membolehkan pengguna mengumpulkan senarai bacaan daripada pelayar web untuk dibaca kemudian dalam satu bentuk aplikasi yang mudah. Fungsi ini dapat membantu pengguna untuk menyimpan dan menyusun atur senarai bacaan yang berguna dalam satu aplikasi dan boleh dibaca semula sebagai rujukan pada masa-masa yang akan datang.

Internet Explorer 11

Selain sistem operasi, pembangunan pantas Microsoft turut disaksikan bersama dengan pelayar Internet Explorer yang kini telah mencapai angka versi ke-11 pada Windows 8.1.

Internet Explorer 11 hadir dengan pembukaan tab tanpa had pada aplikasi Modern UI dan fungsi Sync antara peranti melalui Microsoft Account selain turut menampilkan beberapa fungsi di belakang tabir seperti WebGL yang turut disertakan bersama.

Untuk ujian HTML 5 daripada halaman html5test.com, Internet Explorer 11 pada Windows 8.1 berjaya mencatatkan bacaan sebanyak 355 mata. Walaupun markah yang dipaparkan pada ujian penanda aras agak kurang daripada pesaingnya, pada dunia sebenar ia kelihatan sangat lancar dan penulis sendiri secara jujurnya merasakan ia lebih baik daripada kesemua pelayar web yang sedia ada di pasaran pada masa kini. Ia hadir dengan masa pembukaan aplikasi yang sangat pantas selain turut didatangkan dengan tatalan ‘smooth scrolling‘ menjadikan paparan web yang dinavigasi lebih menarik apabila mentatal halaman dari atas ke bawah atau sebaliknya.

Dari segi antara muka, tiada sebarang perubahan dibuat pada Internet Explorer 11 versi desktop dan pada aplikasi Modern UI, ada sedikit perubahan dari segi kawalan tab. Kedudukan tab pada Internet Explorer versi ini telah berada bersama-sama dengan URL bar di bahagian bawah skrin berbanding sebelum ini yang berada di bahagian atas skrin.

Xbox Music dengan Sokongan ‘Radio’ dan Penstriman Percuma

Sebelum ini kita mungkin telah sedia mendengar Spotify, satu perkhidmatan yang membolehkan kita mendengar lagu secara percuma pada desktop. Kini, Xbox Music pada Windows 8.1 turut hadir dengan perkhidmatan yang lebih kurang sama seperti Spotify yang mana membenarkan pengguna memainkan kesemua lagu secara percuma dengan sokongan iklan padanya.

Antaramuka Xbox Music turut diberi nafas baru dan kini ia kelihatan lebih kemas berbanding sebelum ini. Sejumlah besar antaramuka Xbox Music pada Windows 8.1 telah diberi fokus dengan fungsi Radio dan penstriman percuma yang mana sejumlah besar lagu ‘streaming‘ kegemaran pengguna dimuatkan dalam satu paparan Collection. Sama seperti Spotify, aplikasi ini turut hadir dengan kebolehan membawa masuk playlist daripada komputer pengguna dan Xbox Music akan memadankan lagu yang sedia ada berada di ‘cloud‘ dengan playlist pengguna tersebut.

Penambahabaikan

Fungsi Snap View

Windows 8.1 - AppSnapMelalui Windows 8.1, fungsi Snap View telah diberi peningkatan yang mana aplikasi kini boleh di’snap’ pada kadar yang berlainan seperti 50:50 dan 40:60 berbanding sebelum ini pada kadar 30:70 daripada saiz skrin. Penambahbaikan ini membolehkan pengguna menjalankan aplikasi Modern secara penuh walaupun disnap pada 50% atau 40% daripada paparan skrin.

Pada paparan resolusi tinggi, Snap View pada Windows 8.1 turut membolehkan lebih banyak aplikasi disnap dalam satu-satu masa berbanding di Windows 8 yang hanya terhad kepada dua aplikasi. Contohnya pada paparan 1600×900, fungsi ini membolehkan tiga aplikasi disnap dalam satu paparan skrin pada kadar 30:30:40.

Selain itu, fungsi Snap View pada Windows 8.1 kini boleh dijalankan pada skrin yang beresolusi 1024×768 berbanding pada Windows 8 yang memerlukan resolusi minima 1366×768 untuk menjalankan fungsi ini. Pengenalan resolusi minima 1024×768 ini dapat memberi ruang kepada pengeluar untuk menghasilkan tablet Windows yang lebih kecil seperti saiz 7 dan 8-inci.

Tetapan Boot-to-Desktop

Antara kritikan pengguna desktop mengenai Windows 8 adalah ketiadaan tetapan untuk boot terus ke desktop. Pada Windows 8, pengguna terpaksa dibawa ke Start Screen terlebih dahulu sebelum ke paparan desktop. Perkara ini membuatkan ramai yang memasang aplikasi daripada pihak ketiga, membolehkan Windows untuk terus ke desktop selepas proses boot tanpa dihidangkan dengan paparan Start Screen terlebih dahulu.

Menyedari hakikat ini, Microsoft kini menampilkan tetapan boot-to-desktop ini bersama-sama dengan Windows 8.1. Fungsi ini tidak ditetapkan secara default dan pengguna boleh mengaktifkannya dengan membuat klik-kanan pada taskbar dan klik pada ‘Properties’. Satu window baru akan muncul dan klik pada tab ‘Navigation’. Dari situ pengguna boleh menetapkan tetapan boot-to-desktop dengan menandakan pada kotak ‘When I sign in or close all apps on a screen, go to the desktop instead of Start’.

Fungsi Penyuntingan Gambar Secara Terbina

Windows 8.1 turut didatangkan dengan sokongan penyuntingan gambar secara terbina pada aplikasi Photos. Fungsi ini hadir dengan pilihan penyuntingan gambar yang dikira agak menarik seperti kebolehan untuk menetapkan fokus pada gambar. Selain daripada fungsi tersebut, turut hadir bersama dengan aplikasi ini kebolehan untuk mengubah warna, cahaya, crop, rotate, pembuangan red eye, dan auto fix.

Aplikasi Kamera Hadir dengan Fungsi Photosphere

Microsoft turut mengambil langkah untuk meningkatkan pengalaman pengguna pada fungsi kamera dengan menghadirkan fungsi Photosphere dalam Windows 8.1. Fungsi ini membolehkan pengguna menangkap gambar dalam bentuk 360 darjah dengan hanya menggerakkan kamera yang berada peranti berpandukan panduan yang tertera pada paparan skrin.

PC Settings yang Diperbaharui

Dengan lambakan Windows 8 pada peranti tablet dan peranti skrin sentuh, mengawal tetapan pada Control Panel tidak beberapa efisien pada peranti jenis ini kerana antara mukanya lebih kepada penggunaan desktop. Pada Windows 8.1, hampir kesemua tetapan utama telah dimasukkan dalam PC Settings dan pengguna boleh menetapkan beberapa perkara seperti resolusi, dan juga melihat status activation pada Windows terus dari PC Settings yang dioptimasikan sepenuhnya untuk paparan skrin sentuh.

Integrasi Skydrive pada Desktop

Sebelum perkenalan Windows 8.1, fungsi Skydrive pada Windows 8 hanya terhad pada antaramuka Modern dan pengguna perlu memasang aplikasi yang berlainan untuk versi desktop. Pada versi Windows terbaru ini, Skydrive untuk desktop didatangkan secara terbina dan melaluinya pengguna boleh mengurus fail terus menerus daripada File Explorer dengan mudah.

“My Computer”, “Computer”, dan kini “This PC”

This PCSejak pengenalan Windows 95 sehingga Windows XP, istilah ‘My Computer’ telah digunakan untuk memaparkan beberapa peranti yang berada di komputer selain membuat perubahan setting melaluinya. Pada Windows Vista sehingga Windows 8, istilah digantikan dengan “Computer” sahaja dan fungsinya masih sama seperti sebelumnya.

Pada Windows 8.1, istilah berubah kepada “This PC” memandangkan pada hari ini komputer bukan sahaja hadir dalam bentuk PC malah dalam bentuk form-factor yang lain. Oleh sebab yang demikian, istilah “Computer” tidak lagi digunakan bermula Windows 8.1 ini dan digantikan dengan istilah “This PC” yang dikira lebih sesuai dengan era kini. Fungsinya juga tidak jauh beza daripada sebelumnya cuma ada beberapa perubahan dilihat daripada fungsi ini. Kini “This PC” tidak lagi hanya memaparkan peranti yang berada pada komputer sebaliknya turut hadir bersama-sama dengan folder pengguna.

Sokongan Percetakan 3D

Sejak akhir-akhir ini, trend percetakan 3D semakin mendapat perhatian daripada pengguna dan perkara ini sedikit sebanyak menarik minat pengeluar untuk menghasilkan pencetak 3D untuk pasaran umum. Pada acara Build 2013, Microsoft mengumumkan Windows 8.1 adalah platform yang pertama di dunia yang hadir dengan sokongan percetakan 3D ini. Melaluinya pengguna boleh melihat terlebih dahulu bagaimanakah rupa bentuk 3D yang bakal dicetak terus dari paparan peranti Windows 8.1.

Sokongan Paparan Berpiksel Tinggi

Selain daripada percetakan 3D, turut sama mengikut trend kini adalah kehadiran peranti dengan paparan berpiksel tinggi pada pasaran umum. Melalui Windows 8.1, pihak Microsoft telah menyertakan sokongan paparan berpiksel tinggi secara natif dalam Windows ini tanpa perlu mendapatkan pihak pembangun aplikasi mengubah apa jua jenis tetapan terlebih dahulu.

Sokongan NFC Tap-to-Pair Untuk Fungsi Percetakan

Windows 8 telah sedia hadir dengan sokongan NFC secara natif dan melalui Windows 8.1, sokongan NFC diperluaskan dengan fungsi Tap-to-Pair kepada mesin pencetak. Dengan kehadiran lebih banyak mesin pencetak yang hadir dengan sokongan NFC, fungsi ini membantu untuk memudahkan lagi penyambungan peranti Windows 8.1 dengan mesin pencetak dengan hanya satu ‘tap’ yang mudah.

Kebolehan Mengawal Tetapan Mouse & Touchpad Gesture

Sejak pengenalan sistem operasi Windows 8, setiap penjuru skrin didatangkan dengan fungsi yang berbeza, contohnya Charm Bar yang muncul apabila kursor diletakkan di bahagian penjuru atas kanan skrin. Selain menggunakan kursor melalui tetikus, touchpad juga berperanan dalam mengeluarkan fungsi Charm Bar dengan hanya menggunakan gesture selain kebolehan menukar aplikasi lain melalui kawalan tersebut. Perkara ini kadang-kala membuatkan pengguna tidak berasa selesa apabila mengeluarkan fungsi Charm Bar secara tiba-tiba kerana tidak sengaja melakukan gesture seiras bentuk gesture mengubah aplikasi ketika menggunakan touchpad.

Bagi pengguna yang tidak berasa senang dengan fungsi ini, tetapan tetikus & touchpad gesture boleh diubah melalui PC Settings dan klik pada PC & Devices. Apabila paparan PC & Devices muncul pada paparan, klik pada Mouse & Touchpad untuk mengubah kawalan gesture. Dari situ, pengguna diberi pilihan untuk menutup fungsi gesture yang dikira agak mengganggu bagi sesetengah pengguna.

Broadband Tethering

Internet sharing atau lebih dikenali sebagai tethering, membolehkan pengguna untuk berkongsi sambungan internet ‘mobile broadband’ pengguna melalui WiFi. Pada Windows 8.1, pengguna kini boleh menjadikan peranti Windows 8.1 sebagai ‘WiFi Hotspot’ tanpa lagi menggunakan aplikasi pihak ketiga seperti Connectify dan mHotspot.

Untuk mengaktifkan fungsi Broadband Tethering ini, pengguna boleh ke Setting melalui Charm Bar dan klik Change PC Settings. Pada bahagian Network, klik pada Mobile Broadband dan seterusnya, klik pada nama network. Pada halaman Mobile Broadband, klik enable Internet Sharing untuk mengaktifkan fungsi Broadband Tethering. Ia turut hadir dengan kebolehan mengubah SSID atau nama WiFi serta kebolehan menetapkan kata laluan melalui fungsi ini.

Fungsi Yang Dibuang

Windows Experience Index (WEI)

Windows 8.1 - WEIFungsi yang diperkenalkan sejak Windows Vista ini membolehkan pengguna melihat ‘rating’ yang diberikan oleh Windows untuk perkakasan yang digunakan pada komputer. Pada versi Windows 8.1 ini fungsi Windows Experience Index tidak menunjukkan kehadiran pada bahagian Properties “This PC” seperti Windows sebelum ini memandangkan lebih banyak peranti berspesifikasi rendah bakal hadir bersama-sama dengan Windows versi ini.

Konklusi

Windows 8 telah memperkenalkan antaramuka yang berasaskan skrin sentuh secara sepenuhnya tetapi dilihat ia bukan idea yang sesuai untuk digunakan pada paparan biasa. Sistem operasi ini dilihat masih tidak menepati apa yang pengguna mahukan, atau peranti hibrid yang direka untuk Windows 8. Windows 8.1 adalah jawapan bagi permasalahan ini, dan ia dilihat dapat menjadikan Windows 8 beroperasi dengan lebih baik lagi pada apa jua jenis peranti PC.

Kehadiran semula butang Start adalah suatu pengakuan dari Microsoft bahawa menghilangkan fungsi legasi tersebut bukanlah suatu keputusan yang bijak. Kehilangannya diratapi pada Windows 8 dan telah menyebabkan ramai pengguna berasa janggal ketika menggunakan Windows 8 pada permulaannya. Pada Windows 8.1 ia menunjukkan kehadirannya kembali dalam menjadikan Windows 8 lebih biasa dilihat dan mudah digunakan oleh kesemua pengguna sistem operasi Windows.

Beberapa fungsi di dalam Windows 8.1 telah diberi penaik tarafan seperti Start Screen yang kini hadir dengan tetapan yang lebih bebas untuk keselesaan pengguna. Selain daripada Start Screen, Microsoft juga turut mengurangkan ‘hidden features‘ yang menyukarkan pengguna pada awalnya kepada yang lebih mudah dilihat daripada pandangan pengguna. Perkara ini boleh diambil contoh daripada perletakkan butang All Apps yang kini sudah kelihatan pada bahagian bawah Start Screen dan pengguna tidak lagi perlu untuk menekan klik-kanan yang agak tersorok pada Windows 8. Premis ini membuktikan Microsoft mahu menjadikan Windows 8.1 lebih mesra pengguna dan mudah digunakan untuk kesemua golongan khususnya golongan yang berusia.

Microsoft juga ingin menyelamatkan Windows 8 dengan menghadirkan kemas kini Windows 8.1 untuk menarik kembali golongan pejabat yang mahukan pengalaman pengkomputeran yang pantas tanpa sebarang gangguan. Pada pandangan penulis, antaramuka Modern dan cara penggunaan Windows 8 tidak beberapa sesuai digunakan pada pejabat dan institusi pendidikan kerana sedikit sebanyak akan mengurangkan kadar produktiviti. Oleh disebabkan itu, kita dapat lihat ramai golongan pejabat yang masih setia menggunakan Windows 7. Sistem operasi keluaran 2009 itu masih digunakan kerana tiada Start Screen yang agak melecehkan bagi sesetengah pengguna dan sejumlah besar pengguna juga masih mahukan akses pantas Start Menu.

Dengan pengenalan fungsi boot-to-desktop, pengguna dapat mengelakkan antaramuka Start Screen daripada muncul selepas proses boot dan terus ke desktop seperti mana yang dilakukan pada Windows 7. Perletakkan semula Start Button pada mod desktop sedikit sebanyak membantu untuk mengembalikan ‘look and feel’ Windows 7 walaupun ia tidak hadir dengan akses pantas Start Menu. Pengguna boleh mendapatkan akses pantas ala Start Menu dengan mengubah tetapan untuk memaparkan paparan All Apps sahaja selain ke Start Screen pada kebiasaannya apabila menekan butang Start pada Windows 8.1.

Sekiranya anda sudah sedia menggunakan Windows 8 atau Windows RT, penaik tarafan Windows 8 ke Windows 8.1 ia bukan satu soalan yang anda perlu tanya kenapa dan mengapa kerana jawapannya mudah: Secepat Yang Anda Boleh. Ia ditawarkan secara percuma melalui saluran Windows Store dan setiap penaik tarafan yang berjaya menjadikan PC anda lebih kelihatan lebih mudah digunakan selain menampilkan barisan fungsi dan aplikasi yang diberi nafas barau melalui kemas kini ini. Satu naik taraf yang sangat disyorkan kepada semua pengguna Windows 8 dan Windows RT.

Windows 8.1 Amanz

  • Info
  • Nukilan Arib Ismail untuk Amanz. Ikuti beliau di Twitter.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd