Cari @ Amanz

Bagi pengguna peranti Android, salah satu fungsi yang disertakan bersama adalah sokongan pengumpulan data melalui Google Location. Sokongan ini boleh dimatikan, tetapi ia akan memberi kesan kepada beberapa fungsi lain seperti Google Now dan sebagainya.

Google Location History

Google Location History mengumpulkan data gerakan anda dari satu tempat ke tempat yang lain mengikut sela masa yang dilakukan secara automatik. Semestinya anda memerlukan sokongan akses internet sebelum data lokasi anda dicatatkan pada perkhidmatan Google.

Data-data tersebut kemudiannya digunakan untuk memberikan pelbagai maklumat dan info menarik melalui Google Now. Sebagai contoh, sekiranya anda berada disesuatu lokasi, Google Now akan memperlihatkan masa yang diambil untuk kembali ke rumah.

Mengikut algoritma pintar Google, data tersebut juga digunakan untuk tentukan lokasi kerja anda, dimana sebaik sahaja anda bangun setiap pagi, Google Now akan memperlihatkan keadaan trafik dan masa yang diambil ke lokasi berkenaan.

Walaupun Google Location History ini mungkin memudahkan pelbagai perkara, namun terdapat beberapa pengguna yang tidak gemarkan sokongan tersebut, dan mungkin ingin memadam semua data lokasi yang terdapat pada perkhidmatan Google.

Untuk melakukannya, pengguna hanya perlu ke halaman Google Location History dan memantaunya melalui halaman dashboard yang disediakan. Semua data yang diperlihatkan adalah hanya untuk anda sahaja, dan bukannya diperlihatkan kepada umum.

Melalui halaman tersebut, pengguna boleh memilih tarikh yang diingini untuk melihat gerakan anda. Data tersebut turut dilengkapi dengan masa dan sebagainya, membolehkan anda ketahui dimanakah anda berada pada sesuatu masa.

Untuk mematikan sokongan pengumpulan data ini, pengguna hanya perlu ke halaman History Settings, dan kemudiannya memilih “Disable”.

Google Location History

Seterusnya untuk memadamkan semua data yang terdapat di Google Location History, pengguna hanya perlu klik pada “Delete All History” pada halaman utamanya.

Google Location History

Google Location History

Dengan melakukan kedua-dua perkara tersebut, anda akan memadam pemantauan lokasi oleh Google.

Bagi kami sendiri, kami tidak memadamkan sokongan tersebut, kerana memudahkan kami mengetahui kemanakah kami pergi pada sesuatu hari dan boleh dipantau pada kemudian harinya. Apa pun, perkara ini mungkin tidak digemari ramai dan mungkin ada yang ingin mematikannya.

Jadi, bagi anda, adakah anda akan kekal mengaktifkannya ataupun mematikan sokongan Google Location History ini?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd