Cari @ Amanz

Sesuai dengan namanya tetikus Armaggeddon Alien Craft G17 memang kelihatan seperti sebuah pesawat angkasa milik makhluk asing. Apabila disambungkan kepada komputer lampu biru yang menyala membuatkkannya kelihatan garang seperti piring terbang Independence Day mahu menghancurkan tamadun manusia. Adakah tetikus khas untuk permainan komputer ini mempunyai kemampuan diluar jangkaan ataupun ianya akan terhempas ke muka bumi seperti apa yang berlaku di Roswell New Mexico?

[amanz-gallery]

Rekabentuk

Armaggeddon Alien Craft G17 mempunyai bentuk fizikal yang agak aneh. Dari segi saiz ianya adalah tetikus paling besar yang pernah kami gunakan sejak mula berjinak-jinak menggunakan komputer lebih 20 tahun yang lalu. Pada perkiraan kami G17 30% lebih lebar dari tetikus yang kami biasa gunakan. Saiz besar G17 besebab kerana ia membolehkan telapak tangan anda melekap dengan selesa pada permukaannya.  Ianya sangat besar sehingga jari kelingking yang biasanya tergantung apabila menggunakan tetikus mempunyai tempat “mendaratnya” tersendiri. Pada awal penggunaan terasa sedikit canggung kerana kami harus merubah cara memegang tetikus gergasi ini tetapi selepas dua minggu kami mula berasa selesa.  Saiz G17 yang besar ini mungkin boleh dianggap negatif atau positif bergantung kepada kehendak pengguna. Jujur kami katakan kami gemar tetikus yang besar kerana tangan kami memang besar. Permukaan G17 yang bergetah juga cukup kami gemari kerana berbeza dari tetikus plastik yang kami biasa gunakan. Jika anda sudah biasa menggunakan tetikus kecil saiz G17 yang lebih besar daripada biasa mungkin akan mengakibatkan ianya kurang lancar digunakan. Jadi sekiranya anda mahu membeli tetikus ini ada baiknya jika anda mencubanya terlebih dahulu.

aRMAGEDDON-g17M1710001

Saiz yang besar ini juga membuatkan tetikusnya lebih berat daripada biasa. Sekali lagi jika anda sukakan tetikus yang ringan G17 bukan untuk anda. Terdapat sebuah tempat penyimpan pemberat khas pada G17 jika anda mahu menambah atau mengurangkan berat tetikus. Terdapat 8 slot yang boleh diisikan dengan pemberat seberat 4 gram setiap satu.

Pada bahagian permukaan bawah, tetikus ini dilengkapi dengan 4 pelapik teflon yang besar. Pelapik teflon yang besar ini memastikan tetikus dapat digerakkan dengan lancar sepanjang penggunaan. Kami cukup menggemari rekaan pelapik teflon yang besar seperti ini kerana pelapik kecil yang ada pada tetikus biasa mudah haus dan mengumpul daki selepas dipakai untuk beberapa ketika. Jangan bohong! Kami tahu anda juga jelek terpaksa membersihkan pelapik tetikus yang berdaki selepas digunakan selama berbulan lamanya. Armaggeddon turut memberikan satu set pelapik pengganti sekiranya pelapik teflon yang sedia ada sudah haus digunakan.

Seperkara lagi yang baik tentang rekaan G17 ialah kabel tetikus yang diselaputi lapisan nylon yang keras. Nylon tahan lasak ini memastikan kabel tidak terputus dengan mudah. Secara keseluruhan kemasan dan kualiti binaan G17 adalah baik.

Penggunaan

Alien Craft G17 didatangi dengan 10 butang dimana 8 daripadanya boleh diprogramkan dengan makronya yang tersendiri. Makro ini kemudian boleh ditetapkan kepada 5 profil berbeza mengikut kehendak pengguna. Kesemua ini dapat dilakukan dengan menggunakan perisian yang disertakan oleh Armaggeddon. Masalah yang kami hadapi semasa menggunakan perisian ini ialah ia kerap menyebabkan berlakunya blue screen of death. Setelah beberapa kali perisian dipasang masalah ini masih berlaku. Kami cuba mendapatkan driver terkini tetapi sehingga artikel ditulis tiada kemasan dilakukan. Akibatnya kami terpaksa menggunakan komputer simpanan kami untuk melakukan ulasan. Masalah BSOD tidak berlaku kepada komputer kedua kami yang sudahpun berusia 4 tahun. Kami tidak tahu apakah yang menyebabkan BSOD berlaku dan ianya amat menjengkelkan.

Bercakap tentyang butang -butang makro kami rasakan butang yang disediakan terasa agak plastik apabila digunakan. Jika kami membelanjakan RM259 untuk sesebuah tetikus kami mahukan kualiti pembinaan yang premium. Kualiti butang Alien Craft G17 adalah sedikit mengecewakan. Seperkara lagi yang kami rasakan kurang menarik ialah cara mengubah kepekaan CPI (Counts per Inch) tetikus yang kurang mesra pengguna.  Kepekaan G17 boleh diubah dari serendah 800 CPI sehingga setinggi 8000 CPI. Julat kepekaan yang tinggi ini memang kami sambut dengan baik tapi mengapa butang CPI dan butang tatalan tetikus harus digunakan secara serentak untuk melakukan perubahan? Adalah lebih mudah jika butang CPI hanya perlu ditekan beberapa kali untuk mengubah kepekaan tanpa menggunakan butang tatalan tetikus.

Ketika digunakan untuk bermain permainan komputer kami mendapati G17 adalah sebuah tetikus yang cukup selesa digunakan untuk jangkamasa yang lama. Kami ada katakan bahawa rekabentuk tetikus ini mungkin aneh tetapi rekaan yang aneh inilah yang membuatkan ianya selesa digunakan. Kerana kami tidak perlu menggenggam tetikus (anda hanya meletakkan tangan keatas G17 tanpa perlu menggenggamnya) ketika bermain pergelangan tangan kami tidak cepat lenguh ataupun sakit. Kami tidak menggunakan butang-butang tambahan yang disertakan kerana terasa posisinya yang agak canggung, Tetapi butang-butang asas berfungsi tanpa sebarang masalah.

aRMAGEDDON g17M1710010

Kesimpulan

Armaggeddon Alien Craft G17 ialah sebuah tetikus yang lain mempunyai rekaan yang lain daripada tetikus yang biasa anda lihat. Dari segi fizikal ia bukan sahaja lebih besar dari biasa malahan mempunyai rekabentuk yang agak aneh. Mungkin sebab itulah ianya diberikan nama Alien Craft kerana ianya persis sebuah pesawat makhluk asing. Permukaan tetikus adalah bergetah bagi memastikan ianya melekap pada tangan anda sepanjang penggunaan. Pelapik teflon yang besar pada bahagian bawahnya pula memastikan ianya dapat digerakkan dengan lancar. Terdapat pelbagai butang makro yang boleh diprogramkan mengikut kehendak pengguna disamping kemampuan mengubah sensitiviti tetikus dengan mudah dari 800 hingga 8000 CPI.  Berat G17 juga boleh diubah dengan menggunakan 8 pemberat yang setiap satunya seberat 4 gram. Rekaan tetikus ini baik dan nampak tahan lasak. Ia turut didatangkan dengan jaminan selama 2 tahun.

aRMAGEDDON g17M1710002

Terdapat 8 buah butang yang boleh diprogramkan mengikut kehendak anda kedalam 5 profil berbeza. Jika anda mahukan tetikus dengan pelbagai fungsi, G17 ialah tetikus yang mungkin anda senarai pendekkan. Tetapi sekiranya anda seperti kami, jumlah butang yang terlalu banyak pada tetikus agak melemaskan.

Sungguhpun didatangi dengan pelbagai fungsi dan rekaan yang menarik, G17 mempunyai beberapa kekurangan. Paling ketara ialah saiznya yang besar membuatkan ianya agak canggung dipegang ketika digunakan buat pertama kali. Kami memerlukan masa yang agak lama untuk menyesuaikan tangan kami kepada saiz G17. Terdapat juga masalah pada persian yang dibekalkan kerana ia menghasilkan BSOD apabila dipasang pada komputer. Sehingga kini tiada penaiktarafan pada perisian dapat kami muta turun bagi menyelesaikan masala BSOD ini.

PRO dan Kelebihan

  • Terdapat banyak butang makro yang boleh diprogramkan dengan kedalam 5 profil berbeza
  • Rekaan yang tampak agresif dan unik. Sangat berbeza dari rekaan tetikus yang biasa kami lihat
  • Permukaan bergetah yang memastikan jari anda melekap kepada tetikus sepanjang sesi permainan komputer. Pada bahagian bawah pula terdapat 4 pelapis teflon yang besar bagi melancarkan pergerakan tetikus. Turut disertakan ialah satu set pelapik pengganti sekiranya pelapik sedia ada haus
  • Sistem pemberat boleh laras memberikan anda pilihan mengubah berat tetikus mengikut keselesaan anda.

KONTRA dan Kekurangan

  • Saiz yang agak besar sari saiz tetikus biasa. Mungkin tidak sesuai digunakan oleh kesemua pengguna. Ianya juga pada hemat kami agak berat.
  • Beberapa butang tambahan yang disertakan terasa agak plastik dan kurang kenyal apabila ditekan.
  • Masalahh perisian yang menyebabkan berlakunya BSOD pada sesetengah komputer. Tiada kemasan baru yang dapat menyelesaikan masalah ini.
  • Info
  • Armaggeddon Alien Craft G17 dijual pada harga RM 259. Lawati laman web mereka disini.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd