Cari @ Amanz

Nexus 5 boleh dikatakan salah satu peranti yang sangat dinantikan pada tahun ini. Ia merupakan sebuah peranti idaman penggemar sistem operasi Android kerana ia hadir dengan kemaskini baru yang lebih pantas berbanding peranti lain. Sokongan komunitinya yang meluas menjadikan peranti Nexus antara pilihan pengguna dan kehadiran peranti ini juga merupakan ‘syurga’ bagi mereka yang gemarkan kustomasi Android. Kini, ia hadir dengan fungsi yang diperbaharui disamping menampilkan spesifikasi terbaik pada pasaran hari ini.

Kerjasama untuk mengeluarkan peranti Nexus tahun ini masih diteruskan oleh LG selaku pengeluar yang bertanggungjawab dalam membangunkan peranti Google ini. Sebelum ini, LG telah pun mengeluarkan peranti Nexus 4 yang hadir dengan reka bentuk premium yang menampilkan binaan kaca. Tahun ini, LG telah mempertaruhkan Nexus 5 sebagai salah satu peranti high-end  daripada mereka untuk Google selain LG G2 yang turut sama beraksi dalam peranti kelas ini. Nexus 5 hadir dengan pemprosesan Snapdragon 800 yang menampilkan prestasi yang serba pantas dalam menjanjikan pengalaman Android terbaik pada peranti Nexus. Apa yang menarik untuk tahun ini, Google telah mengumumkan Android 4.4 KitKat serba baru dan LG Nexus 5 merupakan peranti pertama yang hadir dengan sistem operasi ini.

Nexus 5-20

Nexus 5 menjadi salah satu peranti tarikan tahun ini kerana harga yang ditawarkan agak rendah dengan melihat keupayaan spesifikasinya yang agak tinggi. Jika dibandingkan dengan Xperia Z Ultra, ia turut didatangkan dengan pemprosesan Snapdragon 800 akan tetapi harganya boleh dikatakan agak mahal disebabkan binaan peranti dan fungsi yang ditawarkan. Bolehkah Google menampilkan peranti flagship terbaik tahun ini pada harga yang lebih rendah berbanding flagship lain? Ikuti ulasan Nexus 5 kami di bawah.

Reka bentuk

Kali pertama kami melihat gambar Nexus 5 yang tertiris pada pertengahan Oktober tahun ini, kami merasakan reka bentuknya tidak sebegitu cantik jika dibandingkan dengan Nexus 4. Peranti Nexus keluaran LG sebelum ini hadir dengan binaan yang sangat premium bagi kami cuma binaan kacanya mungkin menyebabkan ketahanan pada peranti tidak begitu baik. Tahun ini, LG telah menghadirkan binaan tekstur bergetah pada bahagian belakang menggantikan panel kaca yang terdapat pada Nexus 4.

Apa yang kami suka mengenai Nexus 5, walaupun dari segi reka bentuk boleh dikatakan agak downgrade daripada Nexus 4, tekstur getah dibelakangnya jujur kami katakan ia sangat sedap dipegang dan tidak mudah tergelincir daripada genggaman. Bahagian tepi peranti ini juga menggunakan tekstur bergetah seperti bahagian belakangnya dan kami boleh katakan ketebalan peranti yang seberat 130 gram ini agak nipis yang mana ia hadir dengan ketebalan sebanyak 8.6 mm.

Nexus 5-9

Bercakap mengenai port sambungan, Nexus 5 menampilkan port sambungan standard seperti kebiasaan peranti lain. Pada bahagian atas peranti, ia menempatkan lubang earphone 3.5 mm dan bagi kami ini adalah salah satu lokasi paling praktikal untuk kedudukan lubang ini. Selain itu, peranti ini tidak didatangkan dengan port HDMI kerana kesemua tugasan tersebut boleh digalas melalui port microUSB yang terdapat pada peranti ini melalui sambungan SlimPort. Cuma sedikit pelik bagi kami, kebanyakan pengeluar akhir-akhir ini sering hadir dengan port microUSB yang kepala sambungannya terbalik dan perkara ini turut sama berlaku pada Nexus 5. Apakah rasional disebalik kedudukan kepala microUSB ini masih menjadi tanda tanya dan sepatutnya pengeluar perlu ada satu standard yang menetapkan kedudukan kepala microUSB seperti biasa.

Nexus 5-8Kedudukan butang lock screen yang terdapat pada Nexus 5 juga agak baik kerana ia ditempatkan pada sisi sebelah kanan telefon. Ia sebuah peranti yang agak besar dan panjang dan tidak praktikal jika diletakkan pada bahagian atas peranti. Butang lain seperti butang pelarasan suara terletak pada bahagian sisi kiri telefon yang turut sama berfungsi sebagai butang ketika mengambil gambar. Pada bahagian bawah peranti, ia menempatkan dua lubang speaker dan kami dimaklumkan sebenarnya hanya satu sahaja speaker yang hadir pada Nexus 5. Lubang speaker yang satu lagi hanya sebagai pelengkap reka bentuk peranti ini dan turut sama berfungsi dalam menyalurkan bunyi yang didatangkan dari lubang speaker pertama.

Paparan

Nexus 5 didatangkan dengan paparan skrin 5-inci 1080p yang sangat cantik pada penglihatan kami. Paparan yang dipersembahkan agak mapan dan jitu kerana ia hadir dengan kepadatan piksel sebanyak 445 ppi. Kami merasakan paparan True HD IPS+ yang terdapat pada Nexus 5 mempunyai kawalan kontras dan warna yang sangat baik sekaligus melihat paparan Nexus 5 di bawah sinaran matahari tidak memberi masalah bagi kami. Paparan peranti ini juga bagi kami dapat memberikan darjah pandangan yang agak baik membolehkan anda melihat kandungan pada skrin telefon pada darjah yang berbeza. Berani kami mengatakan Nexus 5 adalah salah satu peranti yang mempunyai tahap keterangan dan kejelasan yang sangat cemerlang pada paparannya untuk tahun ini.

Nexus 5-18

Android 4.4 KitKat

Teringat kami mula menggunakan Android 1.6 Donut yang pada ketika itu Android baru sahaja berkembang dan antara muka tidak secantik seperti hari ini. Kemudian, antara muka Android kian berubah mengikut peredaran versi dan antaranya Android 3.0 Honeycomb yang mula menampilkan antara muka ringkas dan minimalis yang turut sama menjadi ikutan Android selepasnya. Android 4.1/4.2/4.3 Jelly Bean dilihat mengambil sedikit antara muka Honeycomb dan elemen warna biru masih menakluki keseluruhan antara mukanya.

Pada Android 4.4 KitKat, ia mula menunjukkan sedikit perubahan yang mana elemen berwarna biru ‘Tron’ seperti Honeycomb dan Jelly Bean telah digantikan dengan warna putih. Hampir keseluruhan antara muka diberi elemen terang contohnya pada bar notifikasi yang kini hadir dengan paparan lutsinar selain didatangkan dengan ikon bateri dan ikon notifikasi berwarna putih.

Antara perkara menarik mengenai Nexus 5 adalah kehadiran Google Experience Launcher yang menjadi eksklusif sehingga kini. Kami difahamkan peranti Nexus lain yang dapat dikemasikini ke Android 4.4 KitKat tidak didatangkan dengan launcher ini.

KitKat 2

Beberapa perkara menarik tampil bersama Google Experience Launcher ini antaranya antara muka yang diberi pembaharuan. Ia menyerupai paparan homescreen pada stock launcher seperti Android sebelum ini akan tetapi pada bahagian talam aplikasi, ia menunjukkan beberapa perubahan. Kini, bahagian talam aplikasi hadir dengan mod penuh tanpa lagi tampil dengan halaman tab pada antara mukanya. Ia menampatkan sejumlah aplikasi yang dimuat-turun pengguna dan kami merasakan talam aplikasi sebegini lebih kemas dan menarik jika dibandingkan pada Android sebelumnya.

Satu perkara yang kami sangat sukakan dengan Google Experience Launcher adalah kehadiran fungsi ‘hot word’ yang membolehkan anda mengaktifkan Google Now dengan hanya menyebut ‘OK Google’ tanpa perlu menekan sebarang butang. Namun, anda perlu berada di homescreen terlebih dahulu untuk mengaktifkannya dan tidak seperti Moto X yang membolehkan anda menyebut ‘OK Google’ ketika di dalam mod standby dan ketika di lock screen. Sekiranya anda merasa sukar untuk mengaktifkan Google Now melalui sebutan, Google Experience Launcher turut membolehkan anda terus ke paparan Google Now dengan hanya menatal halaman ke sebelah kiri.

Kami juga menyukakan fungsi Smart Dialer pada Android 4.4 yang dapat berfungsi seperti Yellow Pages. Sekiranya anda terasa ingin memesan makanan daripada restoran dan anda tidak tahu sebarang nombor telefon restoran tersebut, Smart Dialer Android 4.4 akan membantu anda memaparkan nombor telefon restoran yang anda kehendaki. Ia juga turut membantu anda mengenal pasti daripada nombor yang tidak dikenali seperti panggilan daripada bank. Jika anda mendapat panggilan yang tidak dikenali, Smart Dialer akan memadankan nombor tersebut dengan informasi yang berkaitan melalui internet.

KitKat 1

Perkara lain yang kami sukakan mengenai Android 4.4 adalah kehadiran immersive mode yang didatangkan secara terbina. Peranti Android yang hadir dengan butang navigasi maya pada skrin sebelum ini mempunyai satu masalah ketika memaparkan aplikasi dalam mod penuh. Aplikasi yang dipaparkan akan meninggalkan satu bahagian hitam yang menempatkan butang navigasi ini. Melalui immersive mode, ia membolehkan aplikasi Android dipaparkan dalam mod skrin penuh tanpa meninggalkan sebarang ruang untuk bahagian butang maya.

Kamera

Kebanyakan ulasan yang berada di arena internet mengatakan gambar yang dihasilkan dari kamera 8-megapiksel Nexus 5 tidak sebegitu cantik dan ada yang memberikan rating terendah untuk bahagian kamera. Mungkin ada benar apa yang diperkatakan, tetapi kami di Amanz adalah sebaliknya.

Semasa percubaan kami menggunakan Nexus 5, kami agak sedikit terkejut kerana gambar yang dihasilkan sebenarnya tidaklah teruk seperti mana yang diwar-war oleh media antara bangsa. Kami merasakan kualiti gambar Nexus 5 agak baik malah warna yang dihasilkan melalui peranti ini juga tampil agak tepat dan menarik. Tahap noise pada gambar yang dihasilkan melalui kamera peranti ini juga tidak begitu ketara dan kami sangat suka dengan hasilnya.

[amanz-gallery]

Salah satu perkara menarik mengenai kamera Nexus 5, pihak LG turut menyertakan teknologi Optical Image Stabalization (OIS) yang diambil daripada LG G2. Sekiranya anda gemar mengambil gambar dengan keadaaan tangan bergegar seperti di atas kenderaan, ia tidak menjadi masalah melalui peranti ini. Teknologi OIS dapat membantu anda mengurangkan kadar gegaran pada gambar yang diambil.

Screenshot_2013-11-30-14-25-41Cuma ada sedikit permasalahan terutamanya ketika mengambil gambar yang mana peranti ini mengambil masa agak lama untuk fokus pada sesuatu objek. Ia tidak seperti menggunakan peranti flagship Samsung seperti Galaxy S4 yang membolehkan anda hanya menekan butang kamera dan gambar terus diambil tanpa perlu menunggu masa fokus yang sangat lama. Sekiranya anda menekan butang kamera berulang kali pada kadar pantas pun tidak menjadi masalah pada Galaxy S4. Perkara sebeginilah yang sepatutnya hadir pada Nexus 5.

Sedikit permasalahan lain kami merasakan ketika mengakses butang pantas kamera pada lock screen. Pada Android KitKat, bahagian bawah lock screen terdapat ikon kamera yang kedudukannya sama seperti ikon kamera yang terdapat pada iOS. Pada permulaannya, kami gagal untuk mengakses fungsi kamera dengan baik dan sering kali memasuki Google Now secara tidak sengaja melalui butang pantas ini. Selepas beberapa ketika, kami menyedari ikon ini berfungsi dengan menatal ikon kamera ke kiri dan bukannya menatal ke atas. Ini bukanlah satu permasalahan besar cuma agak mengelirukan terutamanya untuk pengguna peranti baru Android yang didatangkan dengan Android Vanila (pure Android) seperti peranti Nexus.

Audio

Nexus 5 mungkin agak cemerlang terutamanya dari segi prestasi keseluruhan yang agak lancar. Akan tetapi, satu perkara yang amat mendukacitakan bagi kami adalah kualiti dan aras bunyi audio yang hadir pada Nexus 5 ini. Ia tidak sebegitu kuat dan kadangkala bunyi yang dihasilkan agak perlahan dan tenggelam terutamanya di tempat yang agak bising. Mungkin disebabkan kedudukan pembesar suara di bahagian bawah yang sedikit sebanyak melenyapkan kelantangan bunyi terutamanya ketika telefon berada di poket seluar.

Nexus 5-22

Kami sebenarnya berasa hairan kerana peranti flagship sebegini dibiarkan hadir dengan kualiti audio yang tidak setanding dengan peranti high-end contohnya HTC One dan Sony Xperia Z1. Malahan, peranti HTC kelas pertengahan seperti HTC Desire 600 dual sim menampilkan kualiti audio jauh lebih baik dengan kelantangan bunyi yang sangat kuat pada percubaan kami. Ia tidaklah begitu teruk cuma sebagai sebuah peranti high-end, kami merasakan penataan audio juga perlu diberi keutamaan.

Prestasi

Sepanjang kami menggunakan Nexus 5, kami boleh kata meneroka keseluruhan sistem operasi melalui peranti ini terasa sangat lancar. Ini kerana kehadiran pemprosesan Qualcomm Snapdragon 800 2.26GHz yang didatangkan dengan Nexus 5 ini membolehkan ia beroperasi dengan pantas dan boleh dikatakan salah satu peranti yang hadir dengan pemprosesan terbaik pada tahun ini.

Dengan berbekalkan memori sebanyak 2GB RAM, jarang kami menerima sebarang masalah lengah masa ketika menggunakan peranti ini. Mengguna dan menukar dari aplikasi ke aplikasi juga dilihat tidak menjadi masalah walaupun kebanyakan aplikasi dibiarkan berjalan tanpa ditutup terlebih dahulu.

Sokongan GPU Adreno 330 yang didatangkan bersama Nexus 5 dilihat sangat membantu dalam menjalankan aplikasi dan permainan yang memerlukan grafik yang tinggi dalam peranti mudah-alih. Permainan bergrafik tinggi seperti Asphalt 8: Airbone dilihat sangat lancar yang turut mencatatkan frames per second yang agak tinggi pada Nexus 5. Sekiranya anda seorang gamer yang gemarkan permainan peranti mudah alih, Nexus 5 adalah peranti yang sangat disyorkan untuk anda.

Nexus 5-2

Jangka Masa Bateri

Satu perkara yang kami cukup risau dengan peranti berspesifikasi tinggi adalah dari segi ketahanan bateri. Bagi kami, penggunaan bateri yang ideal adalah dapat bertahan sepanjang hari. Bermakna, jika anda keluar rumah pada waktu pagi, peranti masih lagi dapat bertahan sehingga ke waktu petang atau malam.

Nexus 5-3Ketahanan bateri 2300 mAh Nexus 5 mencatatkan hasil catatan penggunaan yang agak tidak konsisten bagi kami. Pada hari pertama kami menggunakannya, ia mencatatkan bacaan yang agak baik yang mana penggunaan dari sekitar pukul 9 pagi dapat bertahan sehingga ke lewat petang sekitar 7 malam dengan penggunaan data diaktifkan. Kami menggunakannya dengan membuat beberapa perkara tipikal pengguna seperti melihat kemas kini Twitter, Instagram, Whatsapp, dan melayari laman web dalam dengan kadar purata setiap 15 minit. Hari berikutnya, penggunaan bateri ini dilihat semakin menurun yang mana Nexus 5 hanya mampu bertahan sekitar jam 4 petang yang juga dinyahaktifkan daripada sebarang pengecas sejak 9 pagi. Hari ketiga pula, Nexus 5 dilihat mampu bertahan kembali lebih kurang hari pertama kami menggunakannya dengan catatan masa bertahan dari 9 pagi hingga ke sekitar 6.30 petang.

Bagi kami, keseluruhan penggunaan bateri Nexus 5 agak baik sebenarnya cuma ia tidak memperlihatkan bacaan yang konsisten. Kami tidak menyalahkan pemprosesan Snapdragon 800 dalam perkara ini dan kami rasakan mungkin pihak Google sendiri akan membaiki permasalahan ini kelak pada masa akan datang.

Konklusi

Nexus 5 boleh dikatakan salah satu peranti pilihan kami pada tahun ini kerana ia hadir dengan spesifikasi tinggi dan menariknya ia ditawarkan lebih murah berbanding flagship lain. Kami sukakan prestasi keseluruhannya yang sangat lancar dan sukar kami menemui sebarang masalah lengah masa pada Nexus 5 ini. Skrin sebesar 5-inci dengan resolusi penuh 1080p Nexus cukup mengujakan kami dari segi keterangan warnanya dan kejituan paparan yang dipersembahkan. Kami juga menyukakan binaan peranti ini walaupun tidak sebegitu menarik seperti model Nexus sebelum ini yang mana tekstur bergetah dibelakangnya sangat sedap dipegang dan tidak mudah tergelincir daripada genggaman tangan. Satu lagi perkara yang menarik tentang Nexus 5, setiap Android yang baru diperkenalkan kelak akan didapati pada peranti Nexus terlebih dahulu berbanding peranti lain.

Cuma ada beberapa perkara yang kami kurang gemar mengenai Nexus 5 adalah kelantangan audio yang tidak setanding peranti kelasnya dan kami berharap peranti Nexus generasi kelak menekankan aspek ini. Jangka masa bateri yang tidak konsisten juga sedikit sebanyak mencacatkan peranti ini. Perkara lain yang kami rasakan sedikit kekurangan Nexus 5 adalah kami kurang suka dengan reka bentuknya dan kami sebenarnya merindui reka bentuk premium seperti yang hadir pada LG Nexus 4. Namun aspek reka bentuk ini adalah satu perkara subjektif dan setiap orang mempunyai pandangan masing-masing mengenai reka bentuk peranti Nexus 5.

Sistem Rating

Bagi kami, Nexus 5 mungkin tidak dapat menandingi dari segi paras rupa dengan peranti kelasnya namun dalamannya masih lagi dilihat sebagai salah satu peranti terbaik pada tahun ini. Ia meninggalkan spesifikasi HTC One dan Galaxy S4 (LTE) yang hadir dengan Snapdragon 600 kerana Nexus 5 hadir dengan pemprosesan Snapdragon 800 yang turut sama hadir pada Xperia Z Ultra. Yang menariknya, ia ditawarkan pada harga lebih rendah dan kami rasakan Nexus 5 adalah sesuatu yang berbaloi untuk anda miliki pada tahun ini.

Markah

*Terima kasih kepada Ahmad Nasif atas peminjaman peranti ini kepada kami!

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd