Cari @ Amanz

Terdapat beberapa perisian dan aplikasi yang menawarkan sokongan untuk memaparkan notifikasi daripada peranti mudah-alih terus ke destkop. Baru-baru ini, kami telah mencuba salah satu perkhidmatan baru dengan fungsi seumpamanya, iaitu Pushbullet.

Pushbullet boleh dikatakan merupakan salah satu perkhidmatan yang masih baru lagi, dan menggunakan pelayar web Chrome dan Firefox untuk memperlihatkan pelbagai notifikasi dari peranti terus ke desktop anda.

Untuk mula menggunakannya, pengguna terlebih dahulu perlu memasang aplikasi Pushbullet pada peranti mudah-alih, dan seterusnya turut memasang pemalam khas pada Chrome atau Firefox anda. Daripada pengamatan kami, fungsi ini dilihat lebih menarik pada Chrome berbanding dengan Firefox. Sementara untuk platform mudah-alih pula, peranti Android dilihat menerima sokongan menyeluruh, sementara untuk iOS ia tidak boleh memaparkan notifikasi dari peranti pada desktop.

Sebaik sahaja selesai memasangnya, pengguna akan diperlukan untuk log masuk ke Pushbullet menggunakan akaun Google+. Ia diperlukan untuk memastikan anda menggunakan akaun yang sama pada peranti Android dan juga pelayar web Chrome anda.

Untuk mula mengaktifkan sokongan paparan notifikasi pada desktop, pengguna perlu ke halaman tetapan, dan mengaktifkan sokongan “Notification Mirroring” melaluinya.

Pushbullet Android

Sebaik sahaja mengaktifkannya, pengguna boleh memilih aplikasi spesifik yang ingin dipaparkan notifikasinya ataupun sebaliknya. Sebagai contoh, sekiranya anda tidak ingin paparkan notifikasi daripada WhatsApp, anda boleh mematikannya pada halaman yang disediakan.

Selain paparan notifikasi, pengguna juga turut boleh menggunakan Pushbullet untuk menghantar pautan, gambar, video dan sebagainya daripada telefon pintar anda terus ke desktop melalui fungsi yang disediakan padanya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd