Cari @ Amanz

Produk hibrid bukanlah perkara baru di dalam dunia teknologi. Kita sudah melihat komputer riba dengan sistem operasi berkembar Windows dan Android. Terdapat juga telefon pintar yang boleh berubah menjadi tablet seperti Asus Fonepad. Tetapi hari ini kami menemui produk hibrid yang paling aneh pernah kami temui yang diberi nama Air Bulb. Air Bulb ialah sebuah mentol LED pintar dengan pembesar suara terbina. Secara teori kesemua mentol Air Bulb boleh berfungsi sebagai pembesar suara apabila diperlukan. Kenapa ianya direka? Mungkin jawapannya sama seperti soalan “kenapa orang mendaki Gunung Everest”. Dengan menggunakan aplikasi khas anda boleh menstrim audio dari telefon, tablet dan juga komputer secara terus ke Air Bulb. Ia juga mempunyai pra tetapan bunyi alam semula jadi yang boleh dimainkan oleh anda untuk menghasilkan suasana tenteram di rumah anda. Ia juga boleh diprogramkan untuk menjadi penggera yang bukan sahaja berbunyi tetapi berkelip-kelip bagi memastikan anda lebih mudah bangun pada waktu pagi.

airbulb

Di atas kerta idea Air Bulb mungkin tidak masuk akal. Tetapi dalam sejarah teknologi terdapat ratusan cerita produk baru yang dianggap gila tetapi akhirnya diterima masyarakat. Dahulu idea telefon dengan skrin sesentuh dan komputer peribadi pernah ditertawakan kerana dikatakan tidak keperluan dari pengguna. Tetapi kini kita tahu dua produk ini sudah menjadi sebati dengan kehidupan manusia moden. Mungkin Air Bulb akan menjadi standard masa hadapan.

Sumber AirBulb

 

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd