Cari @ Amanz

074c34bPada hari ini satu sesi media diadakan bersama-sama Pengarah Urusan BlackBerry Malaysia yang baru, Ben Quirin yang menyandang jawatan tersebut setelah Annamalai Muthu meletak jawatan pada bulan Oktober tahun lepas. Ben Quirin yang telah mengendalikan BlackBerry Asia Tengah & Afrika selama lapan tahun, dan turut pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Urusan rantau Indo-China.

Sepanjang pertemuan ini, Ben menyatakan mengenai perancangan BlackBerry Malaysia yang secara amnya memfokuskan tahap sekuriti peranti telefon pintar, memaksimumkan produktiviti, menambah baik kualiti komunikasi dan kolaborasi antara pengguna, serta mengubah landskap dunia mudah-alih.

Beliau turut berkongsi kesediaan BlackBerry Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan untuk kerajaan dan awam khususnya bidang perusahaan dan menyatakan peranti dan platform BlackBerry masih menjadi pilihan utama pihak kerajaan dan swasta di Malaysia.

Ben juga menekankan berkenaan aplikasi BlackBerry Messenger (BBM) yang akan hadir pada platform Windows Phone tidak lama lagi, dan ia akan disertakan secara terbina pada telefon pintar Nokia X. Terdapat beberapa petunjuk berkenaan ‘Internet of Things’ pada sesi perkongsian yang diadakan hari ini, namun apabila ditanyakan mengenai sekiranya BlackBerry turut mempunyai perancangan untuk peranti-boleh-pakai, tiada sebarang komen dikeluarkan pihak BlackBerry.

Ben Quirin mengatakan mereka mempunyai beberapa perancangan untuk pasaran Malaysia dan sama-sama kita nantikan apakah yang akan dibawakan Ben terutamanya kepada pengguna BlackBerry di negara ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd