Cari @ Amanz

Saya seorang pelajar multimedia dan saya sering menggunakan komputer untuk melakukan tugasan berat seperti pengeditan dan render video pada resolusi penuh 1080p serta membuat beberapa kerja suntingan gambar beresolusi tinggi menggunakan Adobe Photoshop dan Adobe Lightroom. Saya juga gemar melakukan kerja-kerja sebegini secara bergerak dan adakalanya saya akan berada di luar secara seharian.

Satu perkara yang amat sukar buat saya adalah untuk mencari plug elektrik ketika di luar dan di tempat belajar saya sendiri pun saya menghadapi masalah yang serupa terutamanya ketika waktu rehat. Selalunya komputer yang memenuhi keperluan multimedia tidak didatangkan dengan jangka masa bateri yang agak lama dan perkara ini amat mendukacitakan saya.

Mujur pada pertengahan tahun lepas Intel telah melancarkan pemprosesan Intel Haswell yang dapat memberikan jangka masa bateri lebih lama berbanding pemprosesan sebelum ini.

DSC01910-resize

Saya berkesempatan untuk menggunakan Dell Inspiron 14R sebagai komputer peribadi saya dan sepanjang beberapa bulan menggunakannya, saya amat berpuas hati dengan prestasi baik dari segi jangka hayat baterinya. Direka untuk pelajar dan pengguna biasa, Dell Inspiron 14R saya boleh katakan ia salah satu komputer riba Windows 8 yang cukup memuaskan dan dilihat dapat membantu untuk mengurangkan masalah saya di atas. Ia hadir dengan skrin 14-inci yang saya kira cukup besar dan menariknya ia turut didatangkan dengan pemprosesan Intel Core i5 generasi ke-4 daripada keluarga Intel Haswell.

Reka Bentuk dan Paras Rupa

DSC01920-resizeInspiron 14R hadir dengan rekaan cukup biasa dilihat pada peranti Dell lain. Pada bahagian atas peranti ini ia menekankan motif rekaan lid yang mempunyai sisi warna kelabu. Sentuhan binaan aluminium pada bahagian chassis dan sedikit sentuhan matte sebagai binaan utama sedikit sebanyak membantu untuk tidak mudah memerangkap kesan cap jari pengguna.

Pada bahagian bawah peranti ini pula keseluruhannya diperbuat daripada plastik termasuk pada bahagian bezel paparan yang turut menggunakan plastik. Ia tidak lah mempamerkan imej peranti murah tetapi membantu untuk meringankan pengeluaran haba disamping mengurangkan kos binaan peranti ini.

Bercakap mengenai port sambungan, pada sisi kiri Inspiron 14R dibekalkan dengan sambungan HDMI, LAN, dua sambungan USB 3.0, dan satu lubang universal untuk 3.5 mm headphone jack dan mikrofon. Pada bahagian sisi kanannya pula dibekalkan dengan pemacu DVD-RW bersama satu sambungan USB 2.0.

DSC01962-resizeCuma apa yang agak mengecewakan, pada pendapat saya peranti ini agak berat dan ini sedikit sebanyak membebankan saya untuk membawa ke mana-mana. Ini kerana komputer ini hadir dengan berat sebanyak 2.5 kg dan ketebalan sebanyak 25.4 mm pada bahagian sisi komputer ini, saya boleh katakan Inspiron 14R agak tebal. Saya sering membawa peranti dengan beg galas dan berat peranti sedikit sebanyak agak menyakitkan bahu saya ketika membawanya di luar dalam jangka masa yang lama.

Dari segi keseluruhan untuk paras rupa, sukar saya katakan Inspiron 14R tidak beberapa elegan cuma dari segi sentuhan yang dipamerkan oleh peranti ini terlalu biasa dilihat pada peranti Dell lain. Ia bukanlah satu peranti yang saya kira eye-catching akan tetapi pepatah Inggeris sering menyebut, “jangan menilai buku daripada kulitnya”, saya percaya kekuatan peranti ini tidak pada luaran dan rupa, tetapi dalamannya mungkin sedikit berbisa.

DSC01992-resize

Paparan

Saiz skrin Inspiron 14R saya boleh kata cukup besar daripada pandangan saya kerana ia hadir dengan skrin sebesar 14-inci dengan resolusi 1366 x 768. Paparannya juga saya boleh kata agak tepat terumatanya dari segi warna yang dihasilkan dan kejelasan yang ditonjolkan melalui skrin peranti Dell ini juga agak padu. Darjah pandangan pada paparan Inspiron 14R juga saya kira agak luas, membolehkan skrin peranti ini jelas dilihat oleh dua orang pengguna tanpa sebarang masalah.

DSC01967-resizePaparan sentuh Inspiron 14R yang terdiri daripada 10-titik sentuhan saya merasakan ia melakukan tugasan agak cemerlang. Menavigasi paparan Windows 8 melalui peranti ini sememangnya menarik dan tidak menunjukkan sebarang masalah ketika menyentuh beberapa antara muka di dalamnya. Keseluruhannya sangat responsif sehinggakan ada satu masa saya menggunakan paparan sentuh ini lebih daripada menggunakan papan kekunci dan touchpad kerana seronok menyentuh bahagian paparannya.

Cuma antara yang menjadi sedikit isu bagi peranti skrin sentuh, ia meninggalkan masalah cap jari yang serius selepas menyentuh paparan peranti ini. Perkara ini mungkin tidak terjadi pada Inspiron 14R sahaja malah rata-rata peranti skrin sentuh yang saya gunakan turut mengalami masalah serupa.

Papan Kekunci dan Touchpad

Perkara yang saya kira sangat cemerlang bagi Inspiron 14R adalah dari segi papan kekuncinya yang sangat selesa. Secara peribadi, saya boleh katakan papan kekunci Inspiron 14R antara papan kekunci komputer riba terbaik yang pernah saya gunakan setakat ini. Ia jauh lebih baik berbanding ASUS Transformer T100 yang pernah diulas sebelum ini dan sejujurnya ia berada di atas paras papan kekunci Macbook daripada Apple.

DSC01937-resize

Penggunaan touchpad pada Inspiron 14R juga sangat baik dan responsif terutamanya menavigasi kursor serta membuat gesture. Ia tidak meninggalkan sebarang bunyi apabila butang touchpad ditekan dan saya amat berpuas hati dengan touchpad peranti ini.

Prestasi

DSC01931-resizePrestasi Inspiron 14R bagi saya juga amat lancar dan tidak menunjukkan sebarang masalah lengah masa. Peranti yang saya gunakan dalam ulasan ini hadir dengan pemprosesan Intel Core i5 4200U 1.6 GHz (dengan Turbo Boost sehingga 2.3GHz) bersama memori sebanyak 6GB RAM. Dengan kehadiran Windows 8 yang didatangkan bersama-sama dengan peranti ini, masalah seperti isu kurang lancar sukar saya temui melalui Inspiron 14R.

Untuk kemampuan memainkan permainan video, Intel HD Graphics 4400 mampu menampung beberapa permainan terkini dengan tetapan low settings pada resolusi natif. Memainkan Dead Space 3 (2013) pada peranti ini boleh dikatakan memuaskan walaupun kadangkala terdapat sedikit penurunan frame rate. Beberapa permainan yang dibekalkan daripada Steam seperti Counter Strike: Global Offensive dan DOTA 2 juga perlu dimainkan pada tetapan low settings untuk prestasi yang memuaskan.

DSC01933-resizeDari segi prestasi untuk render video bagi saya agak baik pada peranti ini. Dengan video Full HD 1080p yang berdurasi selama 5 minit, Inspiron 14R (Intel Core i5 4200U) mampu membuat proses render sekitar 20 minit melalui Sony Vegas Pro.

Jangka Masa Bateri

Aspek yang menjadikan Inspiron 14R begitu istimewa adalah dari segi kemampuan jangka hayat bateri yang lama. Peranti ini mampu bertahan kira-kira 9 jam 23 minit sebelum perlu ia dicaj semula dengan tetapan Power Saving. Namun apabila tetapan ditukar menjadi High Performance, Inspiron 14R hanya mampu bertahan kira-kira 3 jam 11 minit.

Rumusan

Secara keseluruhannya Inspiron 14R menjalankan tugasan amat baik dan mampu memberikan prestasi serta keupayaan bateri yang cemerlang. Bagi sebuah peranti dengan keperluan asas multimedia, ia membantu saya dalam menjalankan tugasan multimedia seperti pengeditan video dan sedikit suntingan gambar melalui Adobe Photoshop dan Adobe Lightroom.

DSC01987-resize

Kehadiran pemprosesan Intel Core i5 generasi ke-4 menjadikan peranti ini berupaya untuk membuat proses render video Full HD dengan masa yang agak baik selain hadir dengan ketahanan bateri yang amat lama. Saya juga sukakan paparan kekunci yang selesa dan touchpad peranti yang responsif selain kehadiran skrin sentuh memudahkan saya untuk menavigasi aplikasi Windows 8.

Bagi saya, sekiranya anda yang mahukan sebuah peranti yang mampu menggalas tugasan multimedia dengan jangka hayat bateri yang lama, Inspiron 14R adalah peranti yang direka untuk anda.

Skor Dell Inspiron

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd