Cari @ Amanz

Telefon pintar berasaskan sistem operasi Tizen merupakan salah satu yang dinantikan ramai pengguna seluruh dunia. Hari ini, selepas penantian sekian lama, pihak Samsung secara rasminya memperkenalkan telefon pintar Tizen pertama mereka, dinamakan sebagai Samsung Z.

Samsung Z

Samsung Z hadir dengan skrin bersaiz 4.9-inci HD Super AMOLED, cip pemprosesan empat-teras 2.3GHz, kamera belakang 8-megapixel dan juga kamera hadapan 2.1-megapixel. Beberapa fungsi seperti pada Galaxy S5 turut disertakan pada peranti ini, termasuk pengimbas cap jari dan juga sokongan Ultra Power Saving Mode.

Samsung Z ini akan ditawarkan di pasaran Russia terlebih dahulu, sebelum ia diperluaskan ke pasaran lain selepas itu.

Tizen merupakan sistem operasi berasaskan Linux yang mana turut menerima sokongan daripada nama besar yang lain, termasuk Intel. Ia juga hadir dengan kedai aplikasi tersendiri – Tizen Store, selain membawakan beberapa perubahan termasuk daripada kaedah widget dikendalikan dan sebagainya.

Samsung Z

Telefon pintar ini juga dilihat terus menambah portfolio Samsung dalam tawaran peranti Tizen. Sebelum ini mereka telah memperkenalkan kamera berasaskan Tizen, dan turut hadir dengan Gear 2, jam tangan berasaskan Tizen mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd