Cari @ Amanz

Selfie boleh dikatakan salah satu fenomena yang agak popular dikalangan generasi muda sekarang, dimana melaluinya mereka menggunakan kamera hadapan atau belakang pada peranti mudah-alih dalam merakamkan gambar diri sendiri, sebelum ia dikongsikan pada laman sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter.

Dan menjelang bulan Ramadhan ini, ia dilihat lebih ramai yang berkongsi gambar selfie, sekaligus beberapa persoalan timbul berkenaan dengan hukum dan sebagainya. Bercakap mengenainya kepada pihak Bernama, pensyarah kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Ustaz Dr Muhammad Lukman Ibrahim mengatakan hukum “selfie” adalah harus tetapi berubah mengikut keadaan dan niat.

Ia adalah harus sekiranya pengguna ingin sekadar berkongsi detik indah mereka, dan mengabdikan ia dalam laman sosial milik mereka. Namun, ia mestilah tidak melanggar beberapa perkara, termasuk menutup aurat dan tidak bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.

Apa pun, apabila “selfie” hendaklah dijauhkan daripada menjadi satu tabiat apabila berada dimana saja, kerana ia termasuk dalam perkara yang sia-sia.

Berkongsi pandangan yang serupa, pensyarah kanan, Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata budaya ‘selfie’ perlu dilihat daripada sudut positif.

“Jika ada yang sengaja bertujuan bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk ketika ‘selfie’ maka itu antara dia dengan Allah S.W.T., bagi saya ia tidak dilarang dalam syarak. Begitu juga sekiranya ia bertujuan mengagung-agungkan Ramadan.

“Mungkin dengan cara ‘selfie’ di masjid menguatkan lagi semangat orang lain untuk datang ke masjid, pada masa sama kita seronok melihat mereka begitu gembira dengan kehadiran Ramadan,” katanya.

Mengenai sikap segelintir mereka yang suka berkongsi gambar makanan di laman sosial, beliau berkata: “Ia tidak salah, sekiranya gambar yang dikongsi bersama ‘friends’ atau ‘followers’ itu adalah golongan sama taraf dengan mereka. Tetapi jika di kalangan teman-teman, ada golongan yang susah atau fakir miskin maka lebih baik jangan dimuat naik.”

Mohd Izhar menasihatkan masyarakat memperbetulkan setiap niat mereka agar dapat mengajak masyarakat mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd