Cari @ Amanz

Beberapa hari yang lalu kami paparkan Ignore No More. Aplikasi tersebut membolehkan ibu bapa mengunci peranti milik anak mereka apabila mereka enggan menjawab telefon. Ini membolehkan ibu bapa mengawal penggunaan peranti anak mereka melalui peranti pintar mereka sendiri. Hari ini mari kita lihat aplikasi seumpama Instagram yang diberi nama Kuddle. Kuddle cuba menjadi Instagram untuk kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah. Ianya direka dengan niat mengurangkan masalah buli saiber dan mengajar kanak – kanak adab yang baik ketika bersosial di atas talian. Aplikasi ini berasal dari Norway dan mempunyai beberapa fungsi unik.

Seorang pengguna yang mendaftar perlu menyertakan emel ibu bapa atau penjaga sebelum akaun diluluskan. Apabila ingin menambah kenalan baru, kenalan tersebut terlebih dahulu perlu disahkan oleh seorang lagi teman anda. Profil pengguna juga hanya boleh dilihat oleh teman yang disahkan. Selain daripada itu setiap gambar tidak mempunyai maklumat geolokasi bagi mengelakkan mereka dikesan oleh individu tidak bermoral dan akhir sekali setiap pengguna hanya dibenarkan menggunakan nama sendiri kerana nama samaran menggalakkan pembulian atas talian. Tidak seperti Instagram, Kiddle mempunyai fungsi melakar terbina yang membolehkan juga pengguna menyerlahkan bakat seni mereka.

Kuddle

Sebuah idea yang menarik kerana sekali lagi kami katakan di dunia serba moden ini laman media sosial yang membolehkan ibu bapa mengakses kegiatan anak adalah perlu. Anak – anak pastinya akan merungut kerana mereka boleh dipantau tetapi dengan peningkatan kes cabul, buli dan sexting di kalangan kanak-kanak sekarang kami percaya pengawalan aktiviti atas talian perlu dilakukan. Ibu bapa zaman IT perlu melengkapkan diri mereka dengan kepakaran IT juga bagi memastikan anak mereka dibesarkan dengan betul.

Kuddle boleh dimuat turun untuk peranti Android dan IOS. Tiada maklumat sama ada ia akan hadir pada platform lain buat masa ini.

Sumber Kuddle

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd