Cari @ Amanz

Android OneSetelah diumumkan pada Google I/O yang lepas, hari ini pihak Google secara rasminya telah mengumumkan peranti Android One di India, sekaligus membolehkan pengguna menikmati peranti pada harga mampu-milik dengan pengalaman penggunaan Android sebenar.

Untuk menjayakan perkara ini, Google bekerjasama dengan pengeluar cip dan juga telefon dalam hadir dengan rekaan peranti rujukan untuk digunakan – dan pada masa yang sama mengekalkan harga jualan yang rendah.

Menariknya mengenai program Android One ini juga adalah dimana pengguna akan menerima kemaskini Android semasa terus daripada Google, membolehkan pengguna menikmati versi Android terkini pada peranti mereka. Google turut menekankan yang mana pengguna peranti Android One juga akan menjadi antara pengguna terawal Android “L” apabila ia dilancarkan secara rasmi dalam beberapa bulan lagi.

Buat masa ini, peranti pertama Android One akan hadir daripada Micromax, Karbonn, Spice dan juga dengan kerjasama pengeluar cip MediaTek. Ia telah mula dijual di India bermula hari ini.

Selain daripada itu, Google turut mengumumkan yang mana mereka akan turut bekerjasama dengan pihak Acer, Alcatel OneTouch, Asus, HTC, Intex, Lava, Lenovo, Panasonic, Xolo, serta pengeluar cip Qualcomm. Beberapa peranti lain dijangka akan hadir tidak lama lagi, dengan Indonesia dan Filipina akan menerimanya sekitar penghujung tahun ini.

Memandangkan dengan pengenalan Android One, pelbagai peranti berspesifikasi rendah akan menerima kemaskini Android dengan pantas, perkara ini juga akan memberikan tekanan kepada pengeluar peranti berspesifikasi tinggi untuk turut memperkenalkan kemaskini perisian secepat mungkin.

Jadi, apa kata anda dengan pengenalan Android One ini?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd