Cari @ Amanz

Sejak bertahun lamanya pelbagai alatan dicipta bagi memberikan kemampuan kamera DSLR pada peranti iPhone. Hampir kesemuanya gagal mencapai sasaran ataupun janji manis yang ditaburkan ketika diiklankan. Sebuah lagi cangkerang merangkap kamera diperlihatkan di pasaran hari ini. Relonch ialah cangkerang yang dipasang secara terus kepada iPhone. Ia disambungkan terus menggunakan port Lightning iPhone bukannya ditambat menggunakan Blueetooth. Menurut pengeluar Relonch, iPhone anda kini serta merta berubah menjadi sebuah kamera kompak dengan kemampuan zoom optikal dan sensor kamera yang lebih baik. Ini berbeza dengan beberapa cangkerang kamera kompak iPhone sebelum ini yang menggunakan semula kamera peranti tetapi dengan bantuan lensa tambahan.

Spesifikasi lensa dan sensor Relonch masih belum diumumkan sepenuhnya tetapi beberapa fungsi khas diumumkan. Aplikasi kamera Relonch mempunyai fungsi bantuan mengambil gambar yang dipanggil Relonch Guru. Selain itu Relonch juga boleh mengecas iPhone anda apabila disambungkan. Harga jualan ialah sekitar RM 1600. Rekaan Relonch amat menarik pada pandangan kami tetapi tanpa pengumuman spesifikasi yang lebih terperinci kami merasakan adalah lebih baik sekiranya anda membeli lensa Sony siri QX yang ternyata berfungsi dan versi terkini menyokong lensa DSLR sebenar.

Relonch2

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd