Cari @ Amanz

COD-advanced-Warfare

Semasa kami muda belia dan tidak mempunyai hati yang kudus seperti Goku kami akan memuat turun permainan PC dari laman-laman Torrent. Kini kami sudah dewasa dan mempunyai moral yang lebih tinggi kami tidak lagi bermain permainan yang dibajak. Pada zaman muda saiz fail untuk permainan PC boleh disimpan di dalam sebuah CD ROM. Kini sekeping DVD tidak cukup untuk memuatkan kesemua data yang diperlukan. Hari ini spesifikasi PC dan keperluan ruang untuk permainan Call of Duty Advanced Warfare diperlihatkan. Jangan terkejut kerana ia memerlukan ruang pemasangan sebesar 55 Gigabyte. Ini adalah 5 Gigabyte lebih besar daripada Wolfenstein New Order yang memegang rekod ruang pemasangan terbesar sebelum ini. Dari segi spesifikasi PC, anda memerlukan sekurang-kurang sebuah pemproses Intel Corei3-530  2.93 GHz ataupun AMD PhenomTM II X4 810 2.60 GHz . Kad grafik pula ialah NVIDIA GeForce GTS 450 1GB atau ATI Radeon HD 5870 1GB. Akhir sekali ialah RAM sebesar 6 Gigabyte. Sistem operasi yang disokong pula ialah Windows 7 64 bit, Windows 8 64 bit dan Windows 8.1 64 Bit. Selamat datang ke dunia permainan generasi baru. Spesifikasi komputer mungkin tidak berapa tinggi tetapi keperluan ruang pemasangan semakin besar kerana penggunaan tekstur grafik berdefinisi tinggi. COD Advanced Warfare akan mula dijual 4 November ini dan ini bermakna anda masih mempunyai masa untuk memadam fail yang tidak diperlukan di dalam PC anda bagi memberi ruang.

Sumber Steam

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd