Cari @ Amanz

Ah cakera padat, sebuah ciptaan dekad 70an oleh Phillip yang kini semakin dilupakan. Kali terakhir kami membeli sebuah cakera padat Audio adalah pada tahun 2005. Ianya album Queens of Stone Age yang kini sudahpun hilang kerana “dipinjam” oleh rakan kolej. Kini kesemua ratusan koleksi cakera padat kami boleh diletakkan kedalam sebuah peranti pintar. Industri penjualan audio secara digital dan penstriman seperti Spotify mempercepatkan kematian teknologi ini sebagai medium simpanan audio kita semua.. Akibatnya pemain cakera padat di dalam kenderaan kami kini menjadi seekor gajah putih. Kami yakin bahawa bukan kami seorang sahaja yang tidak lagi menggunakan pemain cakera padat di dalam kereta. Jadi apa yang boleh kita lakukan dengan pemain cakera yang kini mengumpul debu.

ngroove-1

Mountek nGroove ialah pemegang peranti pintar yang menggunakan slot cakera padat sebagai tempat menyangga. Setelah dikuncikan pemegang ini akan dapat menanggung berat peranti anda dengan mudah. Terdapat juga versi untuk tablet bersaiz 7″ dan 12″. Kami sudah lama mahukan pemegang peranti pintar yang stabil ketika memandu. Pemegang peranti jenis sedutan yang dipasang pada cermin kereta tidak berfungsi dengan baik kerana cuaca Malaysia yang panas. Getah pelekap pemegang jenis ini juga mudah mengeras dan rosak tidak sampai setahun. Dengan pemegang nGroove kami dapat menyelesaikan dua masalah dengan serentak. Slot cakera keras kini digunakan dan tiada lagi ketakutan masalah radiasi pada alat sulit kerana peranti diletakkan di celah-celah kelangkang ketika memandu.

ngroove-2

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd