Cari @ Amanz

DigitsTwitter hari ini telah memperkenalkan sebuah platform baru khusus untuk pembangun, dinamakan sebagai Digits. Melalui Digits, Twitter dilihat ingin menawarkan kemudahan untuk pembangun aplikasi untuk menggunakan fungsi daftar masuk menggunakan nombor telefon, berbeza dengan penawaran log masuk menggunakan nama pengguna dan kata laluan seperti kebiasaannya.

Terdapat beberapa penyedia menawarkan fungsi lebih kurang sama termasuk Google dan juga Facebook. Twitter sendiri mempunyai solusi daftar masuk menggunakan akaun Twitter, tetapi Digits dilihat berbeza dengannya.

Menggunaakn Digits, ia menawarkan fungsi seumpama pendaftaran pada aplikasi seperti WhatsApp. Pembangun hanya perlu memasukkan beberapa baris kod pada aplikasi mereka, dan seterusnya pada bahagian pengguna, ia akan memaparkan log masuk menggunakan nombor telefon. Pengguna hanya akan perlu memasukkan nombor telefon, dan sebuah SMS pengesahan akan dihantar untuk mengesahkan peranti sebelum boleh menggunakan sesuatu aplikasi.

Twitter Digits

Digits dilihat lebih praktikal untuk digunakan pada peranti mudah-alih, apatah lagi dengan fokus terhadap negara-negara membangun – yang mana kebanyakkan penggunanya masih tidak mempunyai emel dan sebagainya.

Pada masa yang sama, penawaran Digits ini juga akan mengurangkan kos pembangun aplikasi, memandangkan pihak Twitter akan menguruskan landskap penghantaran SMS dan infrastruktur lain.

Twitter mengatakan beberapa aplikasi akan mula menggunakannya, dan salah satunya adalah OneFootball. Bagi para pembangun yang berminat untuk mengintegrasikan Digits pada aplikasi anda, boleh layari laman Digits hari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd