Cari @ Amanz

Kuala Lumpur ialah bandaraya maju yang menjadi kebanggaan kita. Menara berkembar tertinggi di dunia berdiri megah di tengah-tengah kota ranggi metropolis ini. Sungguhpun kita hanya mempunyai lima tahun untuk menjadi sebuah negara maju, masalah banjir kilat yang sudah berlarutan selama berdekad lamanya masih menghantui Kuala Lumpur. Berbillion sudah dibelanjakan untuk membina terowong SMART tetapi setiap hari apabila hujan turun pasti akan ada jalan raya yang menjadi sungai secara automatik. Ini sememangnya amat memalukan dan sukar dimaafkan. Alasan yang diberikan ialah lubang saliran longkang tersumbat, tertutup dan hujan terlalu lebat. Apakah jalan penyelesaian yang boleh dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur?

Bioswales-1

Mungkin mereka boleh belajar dari New York. Penyelesaiannya agak mudah,murah dan mesra alam. Sebanyak 2000 bioswales, ataupun taman mini akan dibina pada bahu jalan sekitar New York. Antara perkara yang dipelajari dari bencana taufan Sandy yang melanda New York pada tahun 2012 ialah sistem saliran yang sedia ada tidak mampu menampung jumlah air yang banyak ketika taufan. Jalan penyelesaian konvensional ialah membesarkan sistem saliran sedia ada. Tetapi ini akan menelan belanja yang besar dan mengakibatkan kesesakan akibat jalan yang terpaksa dikorek. Oleh itu Jabatan Perlindungan Alam Sekitar New York merasakan pembinaan taman mini pada lorong pejalan kaki adalah penyelesaian yang lebih murah dan mesra alam.

Bagaimanakah taman mini dapat mengelakkan banjir? Air akan diserap oleh taman-taman mini ini secara semula jadi terus ke permukaan bumi. Ia sedikit sebanyak mengurangkan aliran air ke dalam sistem saliran yang sedia ada. Laluan pejalan kaki konkrit dan jalan tar yang sedia ada tidak mempunyai kemampuan menyerap air pada kapasiti yang besar dan air mengalir terus ke dalam longkang. Dengan mengadakan taman-taman hijau mini ini sistem saliran alam semula jadi dapat dikembalikan. Pada waktu yang sama jalan penyelesaian ini mesra alam dan paling penting sekali lebih murah dari membina saliran baru. Kos pembinaan 2000 taman mini ini adalah $46 Juta dan dapat mengurangkan 4 Juta Gallon air dari memasuki sistem saliran New York.

Ini memang jalan penyelesaian yang mudah dan murah. Dua kata kunci hikmat yang harus ada di bibir pihak berwajib di Malaysia. Tidak perlu lagi projek berbillion-billion untuk menyelesaikan masalah banjir di Kuala Lumpur.  Janji sudah ditepati, kini tidak barus banjir lagi.

bioswales-2

Sumber Inhabitat

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd