Cari @ Amanz

Mendapatkan pendidikan asas ialah salah satu hak asasi manusia yang harus diutamakan kerana ia memastikan generasi hadapan dapat meneruskan sesebuah negara. Kerap kali apabila berlaku peperangan ataupun konflik, kanak-kanak menjadi mangsa  kerakusan orang dewasa. Kanak-kanak Palestin sanggup bergadai nyawa untuk ke sekolah dan mendapatkan pendidikan walaupun sekolah kini hanya gumpalan batu selepas dibom oleh pihak penjajah Israel. Di India pula kanak-kanak jalanan pergi ke sekolah di bawah kolong yang dikelolakan secara percuma oleh seorang budiman.

hello-hub-2

Kesemua sekolah sementara di atas memerlukan seorang guru dan para pelajar pergi sekolah bagi mendapatkan pendidikan.Apa yang berlaku apabila tiada guru yang boleh mengajar dan kanak-kanak tidak boleh ke sekolah? Inilah realiti yang sedang berlaku di Nigeria. Kerana gerakan militan Boko Haram guru tidak boleh pergi ke kawasan pedalaman untuk mengajar. Kanak-kanak pula tidak dibenarkan pergi ke sekolah kerana ibu bapa risau mereka akan diculik oleh pihak militan ini. Dianggarkan 10.5 Juta kanak-kanak Nigeria kini tidak ke sekolah akibat ancaman Boko Haram. Hello Hub ialah antara inisiatif yang sedang dilakukan bagi memberikan pendidikan kepada kanak-kanak malang di pedalaman Nigeria.

Hello Hub ialah kiosk komputer yang memberikan pembelajaran jarak jauh. Ia terdiri daripada dua buah komputer yang disambungkan kepada perkhidmatan internet. Ia dijana menggunakan kuasa solar dan menggalakkan pelajar belajar dengan sendiri tanpa memerlukan cikgu. Pada awalnya perkara aras mengeoperasikan Hello Hub diajar kepada komuniti sebelum mereka bebas melakukan aktiviti pelajaran mereka. Bahan pelajaran diakses melalui data yang disimpan ataupun dimuat turun dari internet. Hello Hub dibuat daripada bahan tahan lasak bagi memastikan ia tidak mudah rosak kerana jika ianya berlaku sukar untuk penduduk setempat mendapatkan alat ganti. Kiosk Hello Hub dibuka 24 jam dan menariknya ia turut digunakan oleh orang dewasa untuk belajar. Projek ini berjaya dijalankan di Nigeria dan akan dikembangkan ke kawasan konflik lain seperti Rwanda, Kenya, Ghana, India, Peru dan Haiti.

Projek ini membuktikan bahawa dengan adanya internet halangan untuk mendapatkan pendidikan dapat dirobohkan. Jadi tidak mengejutkan akses kepada internet kini dianggap sebagai salah sebuah hak asasi manusia. Tiada sebab untuk warga pedalaman untuk terpinggir jika dibandingkan dengan penduduk bandar. Yang penting ialah dedikasi dan kesungguhan pihak wajib untuk memastikan kanak-kanak mendapatkan hak pendidikan mereka.

hello-hub-1

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd