Cari @ Amanz

Uber hari ini telah mengadakan Uber Volkswagen Charity Drive With Stars di Malaysia, yang mana melibatkan puluhan artis dan selebriti memandu kenderaan membawa pengguna awam dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Perkara ini walaupun dibuat untuk tujuan kebajikan, namun, ia mungkin sedikit bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan SPAD memandangkan tidak semua selebriti mempunyai lesen pemanduan PSV.

SPAD atau Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat sebelum ini telah meminta pihak Uber untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan pihak berkuasa di Malaysia, dimana antaranya memerlukan kenderaan didaftarkan dengan pihak SPAD dan mempunyai lesen perlindungan insurans yang sesuai untuk penumpang.

Selain itu, pemandu kenderaan juga diwajibkan mempunyai Lesen Perkhidmatan Awam (PSV). Melalui acara pengumpulan sumbangan yang diadakan melalui Uber Volkswagen Charity Drive With Stars, ia melibatkan pelbagai artis tempatan, termasuk Lisa Surihani, Afdlin Shauki, Sazzy Falak, Dynas Mokhtar dan ramai lagi.

SPAD mengatakan mereka memuji niat murni pihak yang terlibat, tetapi pada masa yang sama turut menasihatkan agar mereka mendapatkan pengesahan daripada SPAD bagi menentukan pematuhan undang-undang yang berkaitan pengangkutan awam ketika program seumpamanya dijalankan.

Uber Volkswagen Charity Drive With Stars merupakan aktiviti sehari yang diadakan pada hari ini – 12 Disember, dimana setiap dana yang dikumpulkan akan ditambah dengan sumbangan daripada Uber dan Volkswagen sebelum disumbangkan kepada badan kebajikan terpilih. Seperti biasa, walaupun ia dilakukan untuk tujuan kebajikan, namun pelbagai perkara boleh berlaku di jalan raya, dan ada baiknya pada masa hadapan pihak Uber mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum melaksanakannya – demi keselamatan penumpang dan pengguna perkhidmatan mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd