Berbanding tahun-tahun sebelum ini, akhir-akhir ini dilihat pelbagai pengeluar bersaing dalam arena peranti dengan spesifikasi pertengahan, sekaligus membolehkan mereka menawarkan peranti dengan lebih meluas dinegara-negara membangun – terutamanya di Asia.
Pelbagai pengeluar dari China sedia bersaing dalam arena tersebut, dan seperti biasa Samsung turut tidak ingin ketinggalan. Berbanding tahun sebelum ini yang mana mereka hadir dengan peranti dengan nama panjang, kini Samsung dilihat memfokuskan kepada penggunaan abjad sahaja dalam penamaan keluarga peranti baru. Selepas keluarga Galaxy A dan Galaxy E, pihak Samsung kini dilihat turut bersedia untuk memperkenalkan peranti dibawah keluarga Galaxy J.
Peranti pertama dibawahnya, iaitu Galaxy J1 dijangka akan diumumkan tidak lama lagi, dan bakal menyertakan beberapa fungsi khusus Samsung sepertu Ultra Power Saving Mode, hadir dengan kamera 5-megapixel pada bahagian belakang dan kamera 2-megapixel pada bahagian hadapan.
Galaxy J1 ini dijangka dilengkapi dengan skrin 4.3-inci, cip pemprosesan 64-bit 1.2Ghz Marvell PXA1908, memori 1GB RAM, ruangan storan terbina 4GB, sokongan slot mikro-SD, dan juga bateri berkapasiti 1850mAh. Ia turut dijangka akan hadir dengan beberapa variasi termasuk dengan sokongan rangkaian 4G LTE.
Galaxy J1 ini dikatakan bakal diumumkan dalam masa terdekat, dan semestinya struktur harga untuk telefon pintar ini bakal menjadi salah satu faktor utama dalam membuatkan ia berjaya ataupun sebaliknya dalam arena peranti berspesifikasi asas-pertengahan.