Cari @ Amanz

OnePlus telah memperkenalkan OnePlus One pada tahun lepas, dan pada tahun ini, ramai menyasarkan mereka akan memperkenalkan OnePlus Two. Mengikut laporan terkini, pihak OnePlus dikatakan mungkin menggantikan penggunaan nama berasaskan teks kepada penggunaan angka, sekaligus menjadikan peranti baru mereka kelak mungkin dinamakan OnePlus 2.

Pada masa yang sama, ia turut dikatakan yang mana peranti baru OnePlus 2 ini kelak akan ditangguhkan pelancarannya – dan dijangka dipasarkan sekitar suku ketiga 2015 kelak. Penangguhan ini dikatakan berkait dengan pengeluaran cip Snapdragon 810 yang mempunyai sedikit masalah pengeluaran buat masa ini.

Penangguhan ini juga akan memberikan lebih masa untuk pihak OnePlus dalam menyediakan ROM mereka tersendiri berasaskan kepada Android 5.0 Lollipop, selain pada masa yang sama memperluaskan penawaran mereka ke beberapa negara baru.

Dalam masa terdekat ini, mereka ingin memasarkan peranti mereka ke Indonesia – dimana jualan akan dilakukan dengan bekerjasama bersama pihak Lazada. Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah pihak OnePlus akan memasarkannya untuk pasaran Malaysia. Mereka sebelum ini menyasarkan pemasaran pada bulan Disember lepas, tetapi terpaksa ditangguh, dan tiada sebarang info berkenaan tarikh baru buat masa ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd