Cari @ Amanz

Pada penghujung bulan lepas, kita telah melihat salah satu perkhidmatan baru hadir dinamakan sebagai WhatSim. Ia menawarkan kad–SIM khusus untuk menggunakan WhatsApp di seluruh dunia pada harga langganan serendah €10 setahun. Kini, perkhidmatan tersebut dijenamakan semula kepada ChatSim.

ChatSIM

Untuk makluman, mereka masih lagi pada peringkat pengenalan, dan masih belum menjual kad-SIM secara rasmi buat masa ini. Dengan penjenamaan semula ini, ia dilihat ChatSIM ingin memberikan akses ke seberapa banyak perkhidmatan permesejan yang ada dan menarik lebih ramai pengguna untuk mendapatkan kad-SIM mereka kelak.

Melalui ChatSIM ini, kini ia menyokong perkhidmatan QQ, Facebook Messenger, WeChat, Skype, Line, Viber, Telegram, KakaoTalk, Twitter, Google Hangout, Snapchat, dan juga iMessage – selain daripada WhatsApp.

ChatSIM hanya menawarkan sokongan menghantar mesej berbentuk teks dan emoticon sahaja, sebaliknya jika ingin menghantar gambar, video mahupun mesej suara – maka ia akan memerlukan kredit dan caj tambahan.

Bagi anda yang banyak mengembara dan bekerja di beberapa buah negara dalam masa setahun, maka mungkin kad-SIM ini boleh ditempah dan didapatkan oleh anda. ChatSIM turut mengatakan jika hampir 60% daripada penggunaan hanya terhad kepada satu zon geografi, maka ChatSIM akan membuat beberapa halangan untuk penggunaan anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd