Cari @ Amanz

Cortex-A72ARM sedia terkenal dengan rekaan cip pemprosesan mereka yang digunakan oleh kebanyakkan pengeluar cip seluruh dunia. Terkini, hari ini mereka telah mengumumkan rekaan CPU dan GPU baru yang akan mula digunakan pada sejumlah peranti mudah-alih pada tahun hadapan – 2016.

Menjadi fokus utama adalah cip rekaan Cortex-A72. ARM mengatakan ia merupakan cip pemprosesan paling berkuasa daripada mereka sehingga kini, dimana hadir dalam bentuk 64-bit, serta menyokong sepenuhnya perisian 32-bit sedia ada. Ia dikatakan akan menawarkan tenaga pemprosesan lebih 3.5 kali ganda berbanding peranti tahun 2014 yang berasaskan cip Cortex-A15, selain pada masa yang sama menjimatkan tenaga sehingga 75%.

Cip ini juga turut boleh digabungkan dengan CPU Cortex-A53 dalam bentuk konfigurasu big.LITTLE – sekaligus membolehkan cip Cortex-A72 diaktifkan hanya ketika memerlukan tenaga pemprosesan yang tinggi, sebaliknya Cortex-A53 digunakan untuk aplikasi yang memerlukan pemprosesan asas sahaja. Perkara ini sekaligus membawakan kepada penjimatan tenaga yang lebih tinggi.

Diumumkan bersama adalah GPU terbaru mereka, iaitu Mali-T880 yang membawakan prestasi grafik lebih 1.8 kali ganda berbanding Mali-T760 pada hari ini, dan sama seperti CPU mereka, ia turut menjimatkan penggunaan tenaga. ARM mengatakan Mali-T880 membawakan keupayaan gaming seumpama konsol, selain turut membawakan sokongan untuk video 4K.

Pihak ARM turut mengatakan menggunakan CPU dan GPU mereka, ia membolehkan peranti yang lebih nipis, ringan dan berprestasi tinggi dihasilkan – dan peranti menggunakan rekaan CPU dan GPU baru ini bakal hadir pada tahun hadapan. Buat masa ini, antara syarikat yang telah melesenkan rekaan baru ini adalah termasuk MediaTek dan juga HiSilicon (Huawei).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd