Cari @ Amanz

Baru-baru ini kami sempat meluangkan masa di akhir minggu bersama-sama pihak pengurusan tertinggi U Mobile. Seperti semua sedia maklum, CEO U Mobile, Wong Heang Tuck telah pun berkongsi mengenai perancangan mereka untuk memperluaskan akses internet berkelajuan tinggi ke Pantai Timur, termasuklah Sabah dan Sarawak. Selain CEO, Ketua Pegawai Teknikalnya (CTO), Too Tian Jen dan Ketua Pegawai Pemasaran (CMO), iaitu Jasmine Lee telah berkongsi secara lebih terperinci berkenaan perancangan dan penawaran mereka sehingga kini.

UMobile ZTE HuaweiU Mobile merupakan syarikat telekomunikasi termuda berbanding beberapa syarikat yang lain. Pada tahun ini U Mobile baru berusia tujuh tahun, dan dalam dunia telekomunikasi secara amnya, boleh dikatakan tempoh tujuh tahun adalah tempoh yang pendek. Walaupun syarikatnya masih muda, kebanyakan eksekutif mereka mempunyai pengalaman lebih darinya. Mereka juga telah berkembang pesat, baik dari segi infrastruktur dan juga jumlah pelanggan – dimana pada tahun 2014, mereka telah berjaya mencapai sasaran untuk menarik 2 juta pelanggan ke rangkaian mereka.

Dari segi infrastruktur, pihak U Mobile turut mempunyai sejumlah tapak pemancar yang baru, dan tidak perlu risau akan untuk menaik-taraf tapak pemancar yang lama. Hal ini kerana mereka masih bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi yang lain dalam berkongsi rangkaian bagi menyediakan perkhidmatan untuk kawasan yang tidak dapat diliputi oleh tapak pemancar mereka. Sekiranya kebanyakan syarikat telekomunikasi perlu menaik-taraf tapak pemancar mereka dari generasi lama untuk menyokong generasi baru, U Mobile pula tidak menghadapi masalah tersebut justeru kos penaiktarafan tidak dialami mereka.

Bagi meluaskan kawasan liputan mereka, U Mobile juga telah bekerjasama dengan dua vendor, iaitu Huawei dan ZTE. Pada tahun lepas, mereka telah memeterai perjanjian pembangunan rangkaian yang bernilai lebih RM 1.5 bilion, dan bakal mempunyai 2000 tapak pemancar yang baru. U Mobile tidak boleh dikategorikan sebagai MVNO (Mobile Virtual Network Operator) kerana mereka mempunyai tapak pemancar mereka tersendiri dan bagi kawasan diluar jangkauan mereka, mereka berkongsi dengan syarikat telekomunikasi yang lain, melalui format RAN Share (Radio Access Network) dan juga DR (Domestic Roaming).

U Mobile - Media retreat -DSC01287

Sehingga kini, rangkaian U Mobile disokong lebih dari 10,000 tapak pemancar, dengan mereka mempunyai 2552 tapak pemancar 3G, 51 tapak pemancar 4G LTE, manakala tapak pemancar 3G yang dikongsi melalui RAN Share sebanyak 1673 tapak, serta lebih dari 6000 tapak pemancar berasaskan Domestic Roaming bagi perkhidmatan 2G mereka. Pada tahun ini, mereka menyasarkan akan mempunyai 3329 tapak pemancar 3G, lebih dari 1800 tapak pemancar 3G yang dikongsi bersama syarikat telekomunikasi lain (RAN Share), dan ingin meliputi lebih banyak kawasan 2G (Domestic Roaming) serta bakal memiliki 1000 tapak pemancar LTE yang baru, menjadikan jumlahnya 1051 tapak pemancar LTE.

Dalam mencapai sasaran mereka untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik, mereka akan menyediakan satu laman untuk mendengar maklumbalas dari pengguna mereka. Sekiranya pelanggan U Mobile pada sesuatu kawasan mempunyai masalah dengan rangkaian mereka, pelanggan tersebut boleh berkongsi mengenainya pada laman tersebut. Dengan aduan sebegini, pihak U Mobile boleh memantau malahan, sekiranya kawasan tertentu mempunyai aduan yang sama, pihak U Mobile ingin menambah aset dikawasan tersebut. Seperti contoh sekiranya kawasan tersebut menghadapi kesukaran untuk mengakses internet, mungkin perlu ditambah baik infrastrukturnya dan sekiranya sukar bagi pelanggan mereka mendapatkan tambah nilai bagi pelan prabayar mereka, mereka bakal menambah atau melantik agen mereka dikawasan tersebut. Perkara ini sekaligus membantu U Mobile untuk membuat keputusan yang menguntungkan pengguna dan dengan setiap penjimatan tersebut juga bakal menguntungkan pengguna.

Dari segi penawaran pelan mereka, U Mobile dilihat ingin memfokuskan penawaran yang lebih relevan buat pengguna. Meskipun tidak mempunyai pelan yang khusus buat golongan remaja, namun mereka mempunyai promosi serta penawaran khusus yang juga memberikan pelbagai manfaat buat golongan tersebut. Promosi penstriman percuma YouTube dan Tonton antara salah satu bukti dimana sekiranya sebelum promosi ini dijalankan, antara waktu puncak penggunaan data adalah sekitar 10 malam sehingga 11 malam. Promosi penstriman percuma yang ditawarkan pada pukul 2 pagi sehingga 10 pagi menyaksikan corak waktu puncak penggunaan data mereka berubah, dan kini waktu puncak mereka adalah pada pukul 2 pagi. Meskipun terdapat sedikit maklumbalas yang menyatakan tiada orang mungkin melayari internet pada waktu tersebut, hal ini dilihat berbeza, dimana pelanggan U Mobile sanggup menunggu pada waktu tersebut untuk menonton rancangan kegemaran mereka di YouTube dan Tonton.

Selain daripadanya, pelbagai promosi yang dilakukan mereka menerima maklumbalas yang menarik. Promosi perayauan antarabangsa yang menyediakan kuota data sebanyak 50MB bagi beberapa negara juga diterima baik, dimana pada kuota data tersebut, adalah cukup untuk pelanggan menyemak perkara-perkara penting, termasuklah mesej-mesej penting dari aplikasi popular seperti WhatsApp. Promosi penggunaan internet percuma pada 18 Disember tahun lepas bagi meraikan sasaran 2 juta pelanggan mereka juga menerima maklumbalas positif, dimana ramai yang hairan dan inginkan kepastian terhadap promosi tersebut, lalu mencubanya.

U Mobile - Media retreat -DSC01294

U Mobile juga dilihat menawarkan pelan yang hampir serupa di antara pelanggan pascabayar dan juga prabayar. Sekiranya norma sesuatu penawaran dari syarikat telekomunikasi memberikan lebih nilai kepada pelanggan pascabayar, U Mobile dilihat berbeza dan menyatakan mereka menyukai pelanggan prabayar kerana pelanggan prabayar yang akan membayar perkhidmatan mereka terlebih dahulu berbanding pascabayar. Justeru penawaran yang diberikan seharusnya adil dan saksama antara keduanya. Meskipun mungkin terdapat sedikit perbezaan, antaranya perkhidmatan perayauan antarabangsa yang menyediakan kuota data sebanyak 50MB bagi beberapa negara pada mulanya ditawarkan untuk pelanggan pascabayar, namun penawaran yang sama turut diberikan kepada pelanggan prabayar selepas beberapa bulan, dengan syarat mereka perlu membeli nilai tambah kredit sebanyak RM50.

U Mobile - Media retreat -DSC01290Jasmine Lee turut berseloroh mengatakan U Mobile umpama Doraemon, yang mana mereka sentiasa ingin memberikan kejutan buat para pelanggan mereka melalui promosi percuma. Sebagai syarikat telekomunikasi yang muda, mereka ingin jadi lebih relevan buat pelanggan mereka dan juga ingin memberikan penawaran yang relevan bagi menarik pelanggan-pelanggan baru. Melalui kemaskini pelan prabayar dan pelan pascabayar, mereka berhasrat ingin meramaikan lagi pelanggan mereka, sekaligus bersaing dengan syarikat telekomunikasi lain dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk pengguna.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd