Cari @ Amanz

Terdapat lima peranti yang ditawarkan Acer pada acara Mobile World Congress ini. Selain dari penawaran Acer Liquid Jade Z yang mempunyai spesifikasi tinggi dan Liquid Z520 yang mempunyai spesifikasi pertengahan, Liquid Z220 ialah peranti terbaru dari Acer yang membawakan spesifikasi asas namun menariknya ia adalah peranti pertama dari Acer yang didatangkan dengan Android Lollipop.

Acer Liquid Z220
Pemproses 1.2GHz Snapdragon 200 dwi-teras
RAM 1GB RAM
Muatan Dalaman 8GB Dengan Penambahan Mikro-SD
Kamera Utama 5 MP Wide Angle
Kamera Depan 2 MP
Skrin 4 Inci 480×800 187 ppi
Sistem Operasi Android Lollipop
SIM/Telefoni Pilihan 3G, Dwi-SIM

Mengikut tema sama seperti Liquid Jade Z dan Liquid Z520, Acer Liquid Z220 mempunyai badan polikarbonat dengan kemasan seakan-akan sutera Thai pada bahagian penutup peranti ini. Ditengah-tengah badan peranti ini terdapat kerangka besi, yang turut mempunyai suis kuasa serta suis penetapan tahap bunyi. Ia agak kecil dan boleh dikatakan sesuai untuk adik-adik atau anak-anak sebagai telefon pintar pertama buat mereka dan mempunyai spesifikasi asas.

Peranti ini mempunyai skrin bersaiz 4-inci dengan resolusi 480 x 800, mempunyai cip pemprosesan 1.2GHz dwi-teras, memori sebesar 1GB RAM, storan sebesar 8GB dan boleh ditambah kapasitinya menerusi kad Mikro-SD. Dari segi kamera, ia mempunyai kamera utama 5MP dan kamera hadapan 2MP. Menariknya walaupun kamera utamanya mempunyai sensor yang kecil, ia merupakan lensa sudut luas Wide-Angle dan boleh merakam gambar pada jarak dekat dengan sudut rakaman yang agak luas.

Sama seperti model Z520, ia juga mempunyai kamera yang boleh dikawal dengan suara namun tidak terdapat penawaran kualiti audio DTS Studio Sound pada peranti ini. Dari segi penggunaan, tiada sebarang lengah masa diperlihatkan meskipun ia mempunyai spesifikasi asas. Ini mungkin kerana optimasi Android Lollipop atau mungkin seperti didalam gambar, kami sedang menggunakan unit yang dibangunkan bagi tujuan demonstrasi.

[amanz-gallery]

Sekiranya anda inginkan telefon berspesifikasi asas dan menggunakan platform Android Lollipop, telefon ini sememangnya memenuhi kehendak anda. Buat masa ini ia tidak tersedia untuk pasaran tempatan namun untuk pasaran Eropah telefon ini akan dijual pada EUR 89 (~RM 360) dan pada harga tersebut ia sememangnya satu harga yang mampu milik bagi pengguna yang inginkan peranti yang beroperasi menggunakan Android Lollipop.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd