Carian
TP-Link Memperkenalkan Penawaran Penghala WiFi7 Mereka Melalui Deco BE85 Dan Archer GE800
April 19, 2024 Nazrin

Teknologi sambungan internet nirwayar WiFi7 semakin giat diperkenalkan pada lebih banyak peranti-peranti elektronik kebelakangan ini seperti peranti pintar, tablet dan komputer.

TP-Link, jenama pembuat kelengkapan penghala WiFi baru-baru ini telah memperkenalkan dua buah penghala WiFi baru yang menyokong sambungan nirwayar WiFi7 tersebut. Ia termasuklah penghala mesh WiFi TP-Link Deco BE85 dan juga penghala WiFi gaming TP-Link Archer GE800.

TP-Link Deco BE85 merupakan sebuah penghala WiFi Mesh yang tampil dengan sokongan untuk rangkaian internet nirwayar WiFi7 dengan kelajuan rangkaian sehingga 22Gbps menerusi tiga frekuensi rangkaian, termasuklah 2.4GHz, 5.0GHz dan 6.0GHz yang menyokong penstriman sehingga 12 peranti sekaligus pada kelajuan maksima.

Salah satu kelebihan WiFi7 dengan sokongan tiga jenis frekuensi ini ialah melalui satu fungsi yang dinamakan Multi Link Operation, ataupun MLO. Dengan ciri MLO, pengguna tidak perlu memilih rangkaian WiFi berbeza untuk menghantar dan menerima data, peranti boleh menggunakan rangkaian yang bersesuaian bergantung kepada sambungan peranti anda.

Penghala ini juga tampil dengan sokongan perisian TP-Link Homeshield yang membantu dalam memastikan peranti-peranti dan juga rangkaian anda selamat apabila disambungkan kepada Internet. Untuk memudahkan pemasangan penghala WiFi ini, anda juga boleh memuat-turun aplikasi TP-Link pada peranti Android dan juga iOS.

Sebagai penghala WiFi mesh, Deco BE85 tampil dengan pilihan untuk anda dapatkan satu, dua ataupun tiga model penghala untuk mendapatkan liputan rangkaian WiFi yang paling besar. Set penghala WiFi ini bermula dari harga RM1,559 untuk satu unit, RM2,929 untuk dua unit dan RM4,259 untuk tiga unit.

Penghala WiFi gaming TP-Link Archer GE800 pula adalah untuk gamer yang memerlukan sambungan internet yang pantas tidak kira samada secara nirwayar ataupun berkabel. Archer GE800 hadir dengan palam enam palam Ethernet, dimana dua daripadanya ialah palam 10Gbps dan empat lagi adalah palam LAN 2.5Gbps dan sokongan kelajuan internet WiFi setinggi 11,520 Mbps pada rangkaian 6GHz, 5,760 Mbps pada rangkaian 5GHz dan 1,376 Mbps pada rangkaian 2.4GHz.

Dan dengan ciri MLO terbina, anda tidak perlu risau mengenai isu terputus rangkaian kerana peranti WiFi7 anda akan menjejak dan menggunakan rangkaian yang paling bersesuaian dengan jarak anda kepada penghala ini.

Untuk penghala TP-Link Archer GE800 ini, buat masa ini anda boleh mula pra-tempahan untuk penghala WiFi ini di kedai-kedai elektronik terpilih ataupun secara atas talian pada harga RM1,999.

Komen