Carian
Perlumbaan Kereta Lumba Swapandu Pertama Dihantui Pelbagai Isu
April 28, 2024 Effi Saharudin

Perlumbaan Abu Dhabi Autonomous Racing League (A2RL) berlangsung di litar lumba Yas Marina semalam dengan ia adalah perlumbaan kereta lumba swapandu pertama di dunia. Ia walau bagaimanapun tidak berlangsung dengan lancar dengan pelbagai isu timbul sepanjang sesi kelayakan serta perlumbaan.

Walaupun perlumbaan hanya melibatkan lapan pusingan, acara ini berlangsung lebih dua jam kerana isu terknikal. Beberapa kemalangan berlaku menyebabkan perlumbaan dihentikan seketika. Bendera kuning dikibarkan sebagai arahan memperlahankan kenderaan tetapi kesemua kereta lumba berhenti mengejut kerana undang-undang perlumbaan mengharamkan memotong apabila bendera ini dikibarkan.

Terdapat lapan pasukan mengambil bahagian iaitu Fly Eagle (China dan UAE), Humda Lab (Hungary), Code19 (USA), Constructor (Jerman), Technical University of Munich (Jerman), Kinetiz (Singapura dan UAE), Polimove (Itali), dan Unimore (Itali). Mereka diberikan dua minggu untuk melatih sistem swapandu di Abu Dhabi. Selepas peringkat kelayakan, hanya empat pasukan dipilih untuk perlumbaan akhir.

Pasukan diberikan kenderaan lumba Dallara EAV4 yang sama dengan enjin 2 liter 550 kuasa kuda yang sama. Perbezaan hanyalah terletak pada perisian swapandu yang perlu dibangunkan sendiri oleh setiap pasukan.

Setiap kenderaan turut dilengkapi tujuh kamera Sony IMX728 yang memberikan pandangan 360 darjah, empat radar ZF ProWave, tiga LIDAR Seyond Falcon Kinetic FK1 dan sebuah komputer Neousys RGS-8805GC dengan GPU NVIDIA.

Perlumbaan pertama A2RL tidak berlangsung dengan lancar tetapi ini adalah percubaan sulung. Perkembangan AI adalah amat pantas dan jangan terkejut jika dalam masa lima tahun lalu sistem swapandu A2RL akan dapat mengalahkan pemandu manusia.

Komen