Carian
Lembaga Pengarah DNB Akan Bertemu Untuk Menentukan Hala Tuju Rangkaian 5G Kedua Selasa Depan
May 3, 2024 Nazrin

Pada minggu lepas, syarikat pengelola rangkaian 5G negara, Digital Nasional Berhad telah mengumumkan lantikan tujuh ahli lembaga pengarah baru ke badan lembaga pengarah syarikat tersebut, termasuklah Datuk Kamal Khalid dari CelcomDigi, Uthaya Kumar K Vivekananda dari Maxis, Chang Yit Fei dan Tan Kok Leong dari U Mobile, Nik Azli Abu Zahar dan Mohamed Tajul Mohamed Sultan dari Telekom Malaysia dan Datuk Seri Yeoh Seok Hong dan Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dari YTL Power.

Ia kini dilaporkan bahawa lembaga pengarah DNB akan bertemu pada Selasa hadapan, 7 Mei 2024 untuk berbincang tentang kajian daya maju (due diligence) berkenaan penjualan saham syarikat tersebut (Share Sale Agreement) kepada lima syarikat telekomunikasi tempatan sebelum membincangkan tentang hala tuju pembangunan rangkaian 5G kedua negara.

DNB Digital Nasional

Menteri Digital, Gobind Singh Deo juga mengatakan bahawa lembaga pengarah tersebut akan diberi masa 20 hari untuk menentukan hala tuju pembangunan rangkaian 5G kedua ini, setelah meneliti laporan usaha wajar tersebut. Beliau juga mengatakan bahawa setakat ini, usaha wajar yang sepatutnya dilengkapkan menjelang penghujung tahun 2023 akan dibentangkan pada pertemuan tersebut.

“Jangka masa yang ditetapkan saya ialah 20 hari untuk mereka kembali mengemukakan semula langkah yang perlu dilakukan untuk membangunkan rangkaian 5G kedua selepas meneliti laporan usaha wajar tersebut dan akan dilakukan satu per satu.” ujar Gobind lagi selepas memeterai perjanjian baru diantaran DNB dan juga syarikat pembekal kelengkapan telekomunikasi Ericsson hari ini.

Komen