Carian
X Memperkenalkan Stories – Berita Yang Dirumuskan Oleh Kecerdasan Buatan, Untuk Pelanggan Berbayar
May 4, 2024 Aman

X atau dulunya dikenali sebagai Twitter, hari ini memperkenalkan sebuah lagi ciri baharu pada platform berkenaan, dinamakan Stories. Ciri ini memfokuskan kepada kebolehan merumuskan pelbagai berita, dan boleh diakses pengguna melalui halaman setempat di X.

X Stories ditawarkan melalui web dan juga aplikasi iOS sahaja buat masa ini. Ia boleh diakses pada tab “Explore”, yang sedia menyenaraikan sejumlah berita yang hangat dibincangkan pada platform tersebut. Melalui Stories, ia menggunakan sokongan Grok AI – iaitu kecerdasan buatan pada platform berkenaan dalam merumuskan sesuatu berita dan mempersembahkan ia kepada para pengguna.

Ciri ini boleh dikatakan masih pada peringkat awal, dan X sendiri meletakkan label mengatakan kecerdasan buatan mungkin kadang-kala membuat kesilapan dalam merumuskan sesuatu berita.

Dengan pelbagai lambakkan informasi di web pada hari ini, langkah pengenalan ciri X Stories ini akan memudahkan lagi para pengguna dalam mengikuti berita dengan pantas, dan tidak tertinggal sebarang perkara terkini.

Buat masa ini, X Stories ditawarkan untuk pengguna berbayar X sahaja – sama seperti akses kepada Grok AI pada platform berkenaan.

Komen