Carian
Aplikasi Ini Boleh Menghalang Iklan Pada Peranti Windows 11
May 6, 2024 Fahim Zahar

Tiada benda yang 100% percuma di dunia moden ini. Semuanya pasti ada syarat, lagi-lagi yang berkait dengan teknologi. Kebanyakan telefon pintar sekarang, aplikasi, platform penstriman dan macam-macam lagi pasti akan ada iklan jika harga jualannya murah atau akses diberikan secara percuma. Microsoft turut telah menguji paparan iklan pada Windows, cuma setakat ini masih belum meluas.

Walaupun begitu, ini tidak menghalang pembangun pihak ketiga membangunkan aplikasi penghalang iklan untuk Windows 11. Jika anda pernah menggunakan Bloatnosy untuk membuang aplikasi gendut di peranti Windows, ia kini telah dikemaskini menjadi WinPilot dan ciri baru yang menarik adalah penghalang iklan. Dengan kaedah ini anda tidak lagi akan menerima iklan pada menu Start.

Selepas memuat turun WinPilot, ekstrak fail ke mana-mana folder dan terus jalankan aplikasi tadi. Clippy tidak rasmi akan membantu anda. Pergi ke bahagian Setup, bahagian pertama yang anda akan lihat adalah AdBlock for Windows dan terus pilih anda ingin halang iklan yang mana. WinPilot boleh menghalang iklan pada menu Start, buang terus iklan yang disesuaikan mengikut citarasa pengguna, iklan pada File Explorer dan banyak lagi.

Diharapkan Microsoft tidak akan mengikut strategi YouTube di mana penggunaan penghalang iklan boleh mengehadkan penggunaan perkhidmatan mereka. Jika anda was-was dengan aplikasi pihak ketiga, ikuti langkah di dalam artikel ini untuk menghalang iklan secara manual.

Komen