Cari @ Amanz

Minggu ini menyaksikan pelbagai gajet baru diumumkan bukan sahaja di peringkat tempatan, tetapi juga pada peringkat antarabangsa. Menjadi peranti fokus utama di Malaysia sepanjang minggu ini adalah pelancaran Surface 3 – tablet komputer terbaru daripada Microsoft yang menawarkan pengalaman penggunaan Windows sepenuhnya.

Disamping itu, di Malaysia juga, BlackBerry telah memulakan pra-tempahan untuk BlackBerry Leap, dan bakal dilancarkan secara rasminya pada minggu hadapan. MSI turut tidak ketinggalan minggu ini dalam memperkenalkan komputer riba terbaru mereka – tetapi masih belum memasuki pasaran tempatan buat masa ini.

Di arena global pula, Sony telah memperkenalkan telefon pintar dengan fokus selfie terbaru daripada mereka, iaitu Xperia C4. Disamping itu, ZTE turut telah mengumumkan telefon pintar terbaru tanpa bezel mereka yang dikenali dengan nama ZTE Nubia Z9.

Dalam arena perisian, Microsoft pada minggu ini telah memperkenalkan Office 2016 Preview untuk dicuba orang ramai, selain turut berkongsi beberapa perkembangan lanjut untuk Windows 10.

Pelbagai aplikasi baru turut telah hadir pada minggu ini, termasuk Angry Birds Fight!, selain Yelp yang telah memulakan perkhidmatan direktori sosial mereka di Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd