Media pengiklanan internet di Malaysia sudah semakin “tepu” dengan beberapa pilihan kepada para penulis blog dan juga pembangun laman web. Berikut merupakan beberapa laman web pengiklanan tempatan yang mungkin anda boleh bookmark untuk rujukan.
Innity
Satu-satunya media pengiklanan internet di Malaysia yang mempunyai status MSC. Innity dimulakan pada tahun 1999 sebagai syarikat yang menawarkan rekabentuk dan pembangunan web, dan bertukar ke arah syarikat pengiklanan dalam talian tidak lama kemudian. Kini mereka menguruskan pengiklanan di beberapa laman terkemuka seperti Gua dan laman-laman MediaPrima – TV3, ntv7, TV8, TV9.
Nuffnang
Laman pengiklanan yang ditujukan khas untuk para penulis blog. Dimulakan pada tahun 2007 oleh dua orang rakan – Timothy Tiah and Cheo Ming Shen dan sehingga kini terdapat lebih 40,000 orang penulis blog yang mendaftarkan diri mereka kepada Nuffnang. Sering membuat perhimpunan dikalangan blogger dengan memberi tiket wayang percuma.
Advertlets
Dilancarkan pada tahun 2007 oleh Josh Lim & Associates. Sama seperti Nuffnang, Advertlets juga ditujukan khas untuk penulis blog. Pernah membuat beberapa perhimpunan seperti Rantai 07 dan yang terbaru ialah Barcamp Malaysia 08. Lebih bersifat mendekati blogger.
Gokita
Dimulakan dengan nama Nufflets sebagai alternatif kepada Nuffnang dan juga Advertlets dan kemudian bertukar nama kepada GoKita untuk membangunkan identiti tersendiri. Bayaran dilakukan dalam bentuk dollar US, dan bonus USD15 diberikan ketika pendaftaran. Menawarkan pengiklanan dalam bentuk teks.
AdBizzy
AdBizzy adalah laman pengiklanan pertama yang menyokong MySpace disamping laman-laman blog yang lain. Membuat pembayaran apabila mencukup RM25 melalui bank-bank online terpilih. Rekabentuk laman dan logo perlu diberi lebih perhatian oleh pembangun laman berkenaan sekiranya ingin memenangi keyakinan pengguna.
GrabMyAds
GrabMyAds kelihatan kurang serius dalam bidang pengiklanan internet ini kerana blog mereka masih tidak dikemaskini sehingga sekarang sejak daripada bulan Februari. Mempunyai sistem yang agak baik kerana membuat bayaran mengikut iklan yang dimainkan dan mengikut posisi iklan tersebut diletakkan di laman atau blog anda.
Adz100
Adz100 adalah satu-satunya laman pengiklanan yang menghubungkan para penulis blog dengan pengiklanan dan penulis blog boleh menyimpan 100% keuntungan daripada jualan ruangan di laman mereka. Dibangunkan oleh Netizens Media yang dahulunya merupakan media pengiklanan yang ke-5 di Malaysia.
AlternateAd Network
Buat masa ini, AlternateAd Network hanya menguruskan pengiklanan di laman HarakahDaily sahaja dan dijangka pada masa akan datang mereka akan membuka peluang kepada para pembangun laman. Ini adalah kerana laman Versi 2 mereka yang masih dalam pembangunan menunjukkan beberapa perubahan drastik yang akan dilakukan. Walaubagaimanapun, rekabentuk Versi 1 lebih menarik berbanding Versi 2. Buat masa ini, laman ini masih dalam peringkat beta tertutup.