Microsoft hari ini melepaskan secara rasminya perisian Silverlight 2.0. Setelah dua tahun membangunkan perisian Silverlight, akhirnya Microsoft mengambil keputusan untuk membuang tanda “beta” pada produk lawan Adobe Flash-nya itu.
Halaman Konfigurasi Silverlight 2.0 [via]
Antara perkara baru dalam Silverlight 2.0 adalah termasuk kebolehan skinning dan sokongan template, kebolehan zoom imej yang dipanggil Deep Zoom, dan juga sokongan rangkaian (network). Microsoft mengatakan terdapat 25% pengguna yang mempunyai akses komputer yang terpasang dengan Silverlight dan terdapat beberapa negara yang mempunyai 50% pengguna menggunakan Silverlight pada komputer mereka.
Dari sudut seorang pembangun, aplikasi Silverlight 2.0 dan juga Silverlight 2.0 Beta amat jauh berbeza. Walaubagaimanapun, ianya tiada beza dengan versi 1.0. Microsoft mengambil langkah untuk menyokong segala versi penuh yang telah dilepaskan sebelum ini supaya tidak kehilangan penggunanya. Selain daripada itu, kini beberapa laman terkemuka juga telah mengambil keputusan untuk menggunakannya dalam pembangunan laman web mereka. Silverlight boleh digunakan di platform Mac dan juga tentunya Windows. Novell sedang membangunkan sokongan Silverlight untuk Linux dan akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Silverlight 2.0 boleh dimuat-turun daripada laman Softpedia secara percuma. Sekiranya anda membeli komputer HP selepas ini, anda akan mendapati komputer anda telah sedia dipasang dengan Silverlight.