Cari @ Amanz

logo_sifooSifoo.com yang mana dimulakan pada tahun 2000, kini menghadapi masalah server dan memerlukan bantuan kewangan daripada para penggunanya, dan sesiapa sahaja. Sifoo.com sehingga hari ini, dikatakan berkongsi server dengan lagi satu forum komuniti iaitu PGx. Disebabkan masalah server, kedua-duanya kini menghadapi masalah untuk diakses. Malah, tuan punya laman Sifoo.com sendiri telah meletakkan notis bahawa mereka memerlukan sumbangan daripada sesiapa sahaja. Beberapa orang sumber telah mengatakan bahawa PGx telah pun menghulurkan sebanyak RM2000, dan mereka memerlukan lagi RM2500 untuk membeli server baru.

Berikut merupakan petikan daripada halaman utama laman Sifoo.com:

Sifoo.com akan terpaksa ‘bergelap’ seketika di atas sebab teknikal. Kami mengalami masalah server yang kronik. Server ‘usang’ kami sudah tidak mampu lagi menampung apa yang ada sekarang ini.

Untuk pengetahuan, server ‘usang’ tersebut dibeli pada 2004 dengan sumbangan-sumbangan yang diterima daripada pengunjung-pengunjung setia Sifoo.com. Sifoo.com hidup dengan wujudnya komuniti ‘Sifoorian’ yang sangat harmoni dan saling berkongsi ilmu dan pandangan.

Oleh yang demikian, kami di Sifoo.com sekali lagi ingin memohon ‘bantuan kemanusiaan’ agar Sifoo.com ‘bercahaya’ kembali. Kami ingin membuat kutipan sumbangan kilat agar dapat membeli server baru dalam lingkungan harga RM4,500.00. Di waktu sedang menulis ‘ucapan’ ini, kami sudah pun menerima sumbangan lebih kurang RM2,000 (secara verbal).

Jadi, kami harap sangat jika ada yang sudi membantu bagi menambah kutipan sumbangan. Nilaian tidak penting, asalkan yang ikhlas. Kecil atau besar, kami terima. Asalkan Sifoo.com boleh kembali memberi sumbangan kepada anda semua, masyarakat Malaysia. Sifoo.com akan terus kekal sebagai komuniti besar (percuma) di atas sokongan anda semua.

Terima kasih. Semoga dengan sumbangan anda diberkati sepanjang hayat. Insya-Allah.

Walaubagaimanapun, masih tidak terdapat sebarang pengumuman pada laman blog tuan punya Sifoo.com. Domain Sifoo.com didaftarkan pada April 2000, yang mana menunjukkan bahawa komuniti Sifoo.com telah hidup selama lebih 8 tahun. Selain daripada Sifoo.com, komuniti lain yang membincangkan topik yang seumpamanya adalah Pergh.com.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd